Silinder gas meletup: Seorang pekerja patah kaki, dua lagi cedera

BAYAN LEPAS – Seorang pekerja patah kaki manakala dua lagi cedera ringan dalam insiden letupan silinder gas di sebuah kilang pembuatan dan penyelesaian komponen elektronik di Lebuh Kampung Jawa, Zon Perdagangan Bebas Fasa 3, di sini pada Sabtu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Manap Kadir berkata, kejadian berlaku pada jam 1.16 petang ketika mangsa sedang memindahkan silinder gas jenis FM 200 sebelum ia tiba-tiba meletup.
Menurutnya, bomba telah menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Letupan ini tidak menyebabkan kebakaran, namun kita tetap menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menambah, kesemua mangsa merupakan pekerja kilang berkenaan.
"Mangsa yang patah kaki dikenali sebagai Ibrahim Shaffie, 49, manakala Mohamad Nasrin Harun, 38, dan Mohd Radzi Othman, 40, cedera ringan.
"Ketiga-tiga mereka diberikan rawatan awal oleh Pasukan Insentif Rawatan Kecemasan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

