Lelaki ditemui dengan 14 kesan tikaman

Mayat mangsa diusung keluar dari rumah oleh polis.
Mayat mangsa diusung keluar dari rumah oleh polis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki ditemui mati dengan 14 kesan tikaman dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Pulasan petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa R Manogaran, 55, ditemui berlumuran darah di dalam bilik utama rumah berkenaan dengan sebilah pisau masih terpacak di bahagian tengah perutnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa ialah pembekal pekerja asing warga Myanmar kepada beberapa buah kilang di kawasan Bukit Tengah.

Nik Ros Azhan berkata, menurut seorang rakan mangsa pada jam 10 pagi selepas menghantar pekerja-pekerja ke kilang, mangsa memberitahu mahu pulang ke rumah.

Namun pada jam 2.00 petang, rakannya itu menerima panggilan dari pihak kilang yang menyatakan mangsa tidak hantar makanan kepada pekerja-pekerja menyebabkan pekerja tidak mahu teruskan kerja.

"Curiga dengan keadaan itu, rakannya itu kemudian terus ke rumah dan mendapati pintu tidak berkunci.

"Sebaik masuk untuk mencari mangsa dia nampak ada kesan darah di bahagian ruang tamu dan dapati pintu bilik si mati berkunci," katanya ketika dihubungi di sini.

Polis membawa bahan bukti keluar dari rumah mangsa.
Polis membawa bahan bukti keluar dari rumah mangsa.

Artikel Berkaitan:

Rakan mangsa kemudian memanggil seorang pekerja Myanmar yang tinggal berdekatan untuk panjat masuk melalui bilik air dan buka pintu bilik si mati dan dapati si mati dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui sebilah pisau pemotong sayur berukuran 33 cm, sebilah pahat berhulu kayu panjang, sehelai seluar sebelah si mati yang terdapat kesan darah, topi dan tuala mandi yang juga mempunyai kesan darah.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh forensik turut menemui dua kesan cap jari di bingkai pintu bilik air.

Tambahnya, polis turut menggunakan anjing pengesan untuk mencari bahan bukti di lokasi kejadian.

"Setakat ini kita masih lagi menyiasat motif kejadian dan polis telah menahan beberapa orang pekerja si mati untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh," katanya.