Nenek tular mencuri di majlis kahwin pernah ‘kantoi’ tapi tak serik

SHAH ALAM – Seorang nenek yang tular kerana mencuri dalam sebuah majlis perkahwinan di Pasir Mas, Kelantan pernah ditangkap sebelum ini namun tidak serik-serik apabila masih mengulangi perbuatan berkenaan.
Menerusi video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, wanita berusia 61 tahun itu didakwa pernah dipenjarakan kerana mencuri dengan modus operandi sama dalam kejadian 26 November 2022.
Video berdurasi dua saat tersebut menunjukkan wanita terbabit yang bertudung dan memakai baju kurung tanpa segan silu masuk ke dalam bilik tidur tuan rumah ketika kenduri perkahwinan semasa beberapa orang tetamu sedang menjamu selera di ruang tamu.

Wanita terbabit turut berani membuka lampu bilik berkenaan sebelum keluar lalu memasuki ruang dapur dalam keadaan menyelak bajunya seperti menyembunyikan sesuatu.
Selepas mundar-mandir dalam rumah tersebut, dia kemudian dilihat dengan selamba keluar dari pintu utama rumah.
Sebelum ini media melaporkan, wanita itu yang menyamar sebagai tetamu majlis perkahwinan sebelum melarikan beg tangan mengandungi wang tunai RM2,500 akhirnya berjaya ditahan pada Ahad lalu selepas dua minggu diburu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek ditangkap pada jam 5.04 petang di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu di dalam sebuah teksi jenis Nissan Sentra yang dalam keadaan mencurigakan.

Menurut Kama Azural, polis turut menahan pemandu teksi tersebut yang berusia 62 tahun yang juga rakan wanita berkenaan.
Katanya, semakan lanjut mendapati wanita itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk di Terengganu manakala suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah.
Dua warga emas berkenaan kemudiannya direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sebelum ini polis memburu wanita warga emas tersebut yang dikatakan mengambil beg tangan mengandungi wang tunai di majlis perkahwinan pada 1 Februari lalu.
Berdasarkan rakaman CCTV yang tular, dia dilihat mengambil beg tangan dipercayai milik saudara mara tuan rumah yang mengandungi wang tunai RM2,500.
Susulan kejadian itu, polis menerima laporan yang dibuat pemilik beg tangan berkenaan pada 4 Februari lalu sebelum gerakan memburu suspek dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

