Anwar perlu hormati pilihan demokrasi

Anwar. - Foto Bernama
Anwar. - Foto Bernama
A
A
A

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat lalu telah sebulat suara bersetuju menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan tarikh peralihan kuasa.

Bagaimanapun, kepimpinan PH bagaikan dilanda gempa semalam apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin oleh Dr Mahathir sendiri mengambil keputusan di luar jangkaan.

Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu secara serentak manakala Bersatu bertindak keluar daripada PH.

Begitu juga dengan 11 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan PH.

Pengunduran Bersatu daripada PH memberi gambaran berlaku pergeseran antara parti-parti komponen dalam PH sendiri. Salah satu puncanya adalah desakan terhadap Dr Mahathir agar melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi Dr Mahathir beberapa kali diminta mengumumkan tarikh peralihan kuasa dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Antara pihak yang lantang melakukan desakan ialah DAP dan pemimpin-pemimpin PKR proAnwar.

Perkembangan terkini menyaksikan kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 21 bulan manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memperoleh sokongan yang cukup untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

PKR yang sebelum ini mempunyai 50 kerusi kini hanya tinggal 39 kerusi. Anwar turut hilang sokongan 26 kerusi daripada Bersatu, GPS (18) dan Warisan (9). Beliau hanya memperoleh sokongan daripada DAP (42) dan Amanah (11).

Artikel Berkaitan:

Agak malang bagi nasib Anwar yang terus gagal menjawat Perdana Menteri selepas memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi dipecat pada tahun 1998.

Pergeseran Anwar dengan Mohamad Azmin yang berpanjangan akhirnya memerangkap diri sendiri. Kegagalan beliau menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pasti menyaksikan karier politiknya bertambah kelam.