Warga emas hilang ketika memancing ditemukan lemas

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di jeti Kampung Menchali, Kuala Rompin, ditemukan lemas, pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Salahuddin Isa berkata, mangsa, Saari Awang, 67, berasal dari Felda Keratong 6, Muadzam Shah, Rompin, ditemukan pada jam 7.45 pagi oleh orang awam.
"Mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
"Susulan itu, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Saari dikatakan pergi ke kawasan jeti berkenaan untuk memancing sebelum dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

