JTK Perak belum terima aduan majikan enggan laksana gaji minimum RM1,700

Sivanesan (dua dari kiri) hadir bagi merasmikan Forum Cakna Komuniti Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh pada Selasa.
Sivanesan (dua dari kiri) hadir bagi merasmikan Forum Cakna Komuniti Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pekerja seharusnya mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhubung pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, aduan itu penting bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 69(1) Akta Kerja 1955.

Menurut beliau, hampir tiga minggu dilaksanakan, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan terutama pekerja kontrak yang berkhidmat di premis kerajaan.

Sivanesan
Sivanesan

"Pengumuman yang dibuat Kementerian Sumber Manusia adalah jelas yang mana semua majikan diwajibkan mematuhi Perintah Gaji Minimum ini namun, ada kelonggaran selama enam bulan diberikan kepada majikan yang menggaji kurang daripada lima orang pekerja.

"Jika pekerja yang layak tidak dibayar, mereka boleh membuat aduan di JTK di bawah Seksyen 69(1) dan pengarah agensi berkenaan akan menjalankan siasatan namun, sehingga hari ini saya belum menerima sebarang aduan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Cakna Komuniti Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Selasa.

Media pada Jumaat melaporkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudah menerima beberapa aduan daripada pekerja kontrak seperti pengawal keselamatan, tukang kebun dan pekerja pembersihan yang memaklumkan majikan mereka mula memberikan alasan untuk tidak mematuhi pelaksanaan gaji minimum RM1,700.

Menurut Sivanesan, pihaknya sentiasa terbuka menghulurkan bantuan dan khidmat nasihat kepada pekerja yang terkesan dengan isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Persatuan pengawal keselamatan sendiri menghantar surat bagi membincangkan isu yang dihadapi mereka yang mana satu pertemuan akan ditetapkan bagi mengetahui masalah itu lebih lanjut.

"Jika ada mana-mana pekerja di Perak yang memerlukan bantuan atau nasihat percuma, mereka boleh berjumpa saya pada bila-bila masa," katanya.

Pada majlis itu, Sivanesan berkata, perpaduan kaum di negara ini semakin kukuh dengan mencatatkan peningkatan Indeks Perpaduan Nasional daripada 0.567 pada tahun 2018 kepada 0.629 pada tahun 2022.

"Perpaduan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara.

"Jadi forum ini tidak akan berhenti di sini sahaja, ia akan disusuli dengan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dianggotai ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain untuk membuat kajian perpaduan dengan peruntukkan sebanyak RM25,000," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!