'PRN belum ada tarikh, masih awal cerita soal calon' - Jasnih

TUARAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya tidak melihat isu beliau dicalonkan semula atau tidak menjadi perkara penting ketika ini walaupun Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bakal menjelang tidak lama lagi.
Sebaliknya, beliau kini lebih menumpukan usaha untuk menstabilkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus itu sendiri dengan meneruskan rencana dan polisi yang dirancang.
"Terlalu awal untuk kita bercerita soal calon sebab pilihan raya pun kita belum ada tarikh, memanglah semua pun mengharapkan untuk dicalonkan.
"Tetapi pada saya objektif paling besar adalah untuk kita mengekalkan kesinambungan kerajaan itu sebab polisi dan rencana kerajaan sudah ada dan untuk kita meneruskan apa juga perancangan untuk stabilkan kerajaan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Belia 18: Agen Perubahan Demokrasi Hari ini anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Dewan Majlis Daerah di sini baru-baru ini.
Jasnih berkata demikian ketika ditanya adakah beliau akan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit yang dimenanginya menerusi tiket Barisan Nasional (BN) pada PRN16 walaupun kini sudah mewakili Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Tegasnya lagi, beliau tetap akan mendokong polisi kerajaan yang boleh membawa banyak kemajuan kepada Sabah khususnya di kawasan beliau wakili ketika ini.
"Kalau kita tengok, apa masalah kerajaan yang ada? Tidak ada. Sebab saya berada di dalam kerajaan ini dan saya juga bekerja untuk kerajaan ini.
"Apa yang dibuat sebenarnya memang perkara yang harus kita buat iaitu menyelesaikan isu-isu rakyat, merencanakan kemajuan dan buat pembangunan ini.
"Ya, orang akan pertikaikan kita masih mengalami gangguan elektrik, gangguan api dan air, tetapi kita tidak ada satu tongkat sakti yang boleh selesaikan masalah ini dalam masa sehari dua, perancangan itulah sebenarnya yang paling penting bila kita mahu menyelesaikan masalah," katanya.
Untuk rekod, Jasnih antara empat ADUN daripada UMNO-BN keluar daripada parti dan mengambil keputusan untuk menyertai Gagasan Rakyat pada Februari 2023.
Selain Jasnih, turut mengambil keputusan sama ialah ADUN Sugut, Datuk James Ratib; ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan ADUN Balung, Datuk Hamid Awang (Balung).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!