PRN Sabah: 'Sampaikan isu perjuangan parti dalam bahasa mudah untuk pengundi muda'

TUARAN - Pemimpin parti perlu bijak bagaimana untuk menarik minat pengundi muda untuk memahami isu yang diperjuangkan terutama ketika menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Penganalisis politik, Jo-Anna Sue Henley Rampas melihat terdapat perbezaan antara bahasa golongan muda dengan mereka yang sudah lama berkecimpung dalam bidang politik.
"Sekarang, saya mendapati bahawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekurangan istilah yang lebih sesuai, ia adalah satu perbincangan yang bersifat elitis.
"Ia seolah-olah menjadi topik yang hanya dibincangkan dalam kalangan golongan atasan sehingga ke tahap di mana rakyat di peringkat akar umbi hanya mengetahui kewujudan MA63 tetapi tidak benar-benar memahami kesannya terhadap Sabah.
"Jadi terserah kepada pemimpin di setiap kawasan untuk memastikan supaya MA63 ini boleh difahami oleh anak-anak muda," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang sains politik di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sarawak Malaysia (Unimas) turut memberi contoh berhubung tuntutan 40 peratus terhadap kerajaan Persekutuan.
"Perkara paling mudah, isu 40 peratus itu boleh kita kata apa impaknya kalau kita dapat 40 peratus itu? Kita akan dapat lebih banyak duit untuk Sabah buat pembangunan.
"Jadi, kita kena sampaikan perkara ini dalam cara yang paling mudah supaya Gen Z dan Alpha boleh faham. Kita juga perlu guna platform seperti YouTube, TikTok, dan media sosial lain untuk pastikan maklumat ini sampai kepada anak muda dalam bahasa yang mereka senang faham," katanya.
Beliau yang mengkhususkan kajiannya mengenai pengundi muda sebelum itu hadir sebagai panel dalam bengkel Program Belia 18: Agen Perubahan Demokrasi Hari ini anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Unimas yang diadakan baru-baru ini.
Mengulas mengenai program yang dihadirinya itu, Jo-Anna berpendapat bahawa kebanyakkan anak muda dikawal oleh algoritma di dalam media sosial.
"Jadi bagaimana kita ingin memastikan bahawa anak muda ini semua dapat menjadi satu pengundi yang bertanggungjawab?
"Bagi saya apa yang paling penting adalah memulakannya dari sistem pendidikan kita. Contohnya matapelajaran Pengajian Am yang mempunyai satu topik yang betul-betul mendalami tentang demokrasi.
"Jadi kenapa tidak kita bawa silibus itu mungkin seawal di Tingkatan Empat atau tidak mustahil Pengajian Am ini boleh dimasukkan ke dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!