Bot penumpang ditahan di Pulau Indah, langgar syarat lesen

KLANG - Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika utara Pulau Indah pada Isnin, jam 5.51 petang.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot tersebut ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Barat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun bertindak selaku nakhoda bot berkenaan.
"Pemeriksaan dokumentasi mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan.
"Bot dan nakhoda telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Selangor untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana nama nakhoda tiada dalam lesen bot.
Tambahnya, komuniti maritim perlu lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan dan Maritim Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi sekiranya mendapati terdapat individu gagal mematuhi syarat sah lesen dikeluarkan.
"Jika terdapat sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!