UniMAP lahirkan graduan bernilai tinggi

ARAU - Dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, kejayaan sesebuah universiti tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan kecemerlangan akademik atau jumlah graduan dilahirkan setiap tahun.
Sebaliknya, institusi pendidikan perlu memainkan peranan lebih besar membentuk insan yang bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran, malah mempunyai jati diri, integriti, empati serta kesedaran terhadap tanggungjawab kepada masyarakat.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif memberi penekanan pembangunan mahasiswa secara holistik dengan meletakkan pembentukan karakter sebagai antara agenda penting sepanjang tempoh pengajian.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pengalaman di universiti tidak terhad kepada bilik kuliah, tugasan dan peperiksaan, sebaliknya perlu menjadi proses membina kematangan diri serta keupayaan mahasiswa menghadapi realiti kehidupan.
Menurutnya, pendekatan itu diterjemahkan melalui tujuh inisiatif utama HEPA UniMAP merangkumi pembangunan kampus mesra pelajar, pemerkasaan mahasiswa, keterjaminan kebajikan, keusahawanan dan kebolehpasaran graduan, kecemerlangan bakat, pemasyarakatan mahasiswa serta peluasan penglibatan alumni.
"Matlamat kita bukan sekadar melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang akademik, tetapi individu mempunyai nilai tambah, mampu memimpin, berkomunikasi, bekerja dalam pasukan dan memahami tanggungjawab terhadap masyarakat.
"Kita mahu mahasiswa melalui pengalaman kampus yang holistik. Mereka bukan hanya datang ke kuliah, balik ke kolej dan mengulangi rutin sama, sebaliknya perlu diberi ruang untuk membina potensi diri," katanya kepada Sinar Harian sempena Konvokesyen ke-21 di Dewan Tuanku Canselor di Kampus Alam UniMAP yang bermula hari ini sehingga Selasa.
Jelas Mohd Mustafa Al Bakri, pengalaman kampus secara holistik sepanjang tiga hingga empat tahun pengajian memastikan mahasiswa mendapat nilai tambah yang tidak diperoleh melalui pembelajaran akademik semata-mata.
Antara aspek diberi perhatian ialah usaha melahirkan pemimpin mahasiswa yang mampu berfikir secara matang, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
“Sejak 2024, UniMAP memberi ruang lebih besar kepada mahasiswa menguruskan kewangan sendiri, selain memperkukuh autonomi mereka dalam mengendalikan aktiviti dan program pelajar.
“Proses pemilihan pemimpin mahasiswa melalui Jawatankuasa Pemilihan dan Pengurusan Mahasiswa (JPPM) dilaksanakan secara bebas daripada campur tangan pusat tanggungjawab atau HEPA,” ujarnya.
Katanya, mahasiswa diberikan platform mengembangkan kepimpinan melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK), persatuan fakulti dan kelab dengan mengendalikan pelbagai program termasuk baktisiswa, Siswa Turun Kampung dan festival konvokesyen.

Ekosistem kampus menyantuni mahasiswa Menurut Mohd Mustafa Al Bakri, mahasiswa perlu melangkah lebih jauh menghasilkan sesuatu yang memberi impak dan menyelesaikan masalah selari dengan falsafah student serve student dengan mereka sebagai individu bertanggungjawab membantu serta memberi manfaat kepada rakan sebaya.
“Dalam usaha membentuk insan berkarakter, aspek kebajikan juga tidak boleh dipinggirkan kerana mahasiswa berdepan kesukaran hidup pastinya memerlukan sokongan untuk memberi tumpuan kepada pengajian,” katanya.
Mohd Mustafa Al Bakri memberitahu, lebih 60 peratus mahasiswa UniMAP adalah golongan B40 dan menjadikan kebajikan pelajar antara keutamaan universiti.
Ujarnya, lebih 50 inisiatif kebajikan dilaksanakan antaranya bantuan awal pengajian sebanyak RM500, bantuan tunai kecemasan sehingga RM200 tertakluk kepada kelayakan dan pengesahan, bantuan zakat, insurans, bantuan kematian keluarga serta pinjaman komputer dan cermin mata.
“UniMAP juga menyediakan Dapur Siswa Madani (DSM) melalui inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di semua kolej kediaman yang menawarkan makanan percuma sekurang-kurangnya 100 mahasiswa sehari di setiap DSM selain kemudahan foodbank bagi membantu pelajar memerlukan,” katanya lagi.
Selain kebajikan, UniMAP turut menjadikan kesukarelawanan sebagai medium membentuk mahasiswa yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
Aktiviti sukarelawan perkukuh karakter mahasiswa Menerusi pendekatan UniMAP for Society pula, mahasiswa digalakkan turun ke lapangan dan terlibat secara langsung dalam aktiviti komuniti antaranya Baktisiswa Madani, bantuan mangsa banjir, kerja pembersihan masjid dan rumah, khidmat membaiki motosikal serta aktiviti berkaitan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
Kata Mohd Mustafa Al Bakri, penglibatan itu bukan sekadar memberi pengalaman kepada mahasiswa, malah membuka ruang untuk mereka memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Budaya kesukarelawanan semakin berkembang dalam kalangan mahasiswa apabila universiti memerlukan 100 sukarelawan bagi sesuatu program, jumlahnya dapat diperolehi dalam tempoh kurang sejam. “Pengalaman turun padang itu penting bagi menyemai nilai empati, kerjasama dan keprihatinan yang tidak semestinya dapat dibentuk menerusi pembelajaran dalam bilik kuliah,” ceritanya.
Dalam persekitaran pendidikan yang semakin dipengaruhi teknologi, mahasiswa turut berdepan cabaran baharu termasuk penggunaan AI, media sosial dan lambakan maklumat digital.
Penggunaan teknologi membuka peluang kepada mahasiswa mendapatkan maklumat serta meningkatkan keupayaan pembelajaran, namun kebergantungan berlebihan tanpa pertimbangan kritis boleh menjejaskan keupayaan berfikir secara kendiri.
Justeru, Mohd Mustafa Al Bakri menjelaskan UniMAP memberi penekanan terhadap pembentukan integriti dan jati diri melalui pelbagai program termasuk modul minggu suai kenal dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Akademi Kenegaraan selain pendedahan kepada badan beruniform kepada mahasiswa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

