Kedudukan Anwar tidak terjejas jika jawatan Presiden PKR dipertandingkan

Ahmad Zaharuddin Sani
Ahmad Zaharuddin Sani
A
A
A

ALOR SETAR - Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak akan terjejas dengan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana ia bergantung kepada dinamik politik yang lebih luas.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, kedudukan Anwar sebagai Presiden PKR dan Perdana Menteri merupakan dua entiti berbeza dan tidak akan memberi kesan besar terhadap kedudukannya.

Menurutnya, mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR seharusnya dilihat sebagai proses yang sihat dan perlu untuk pembangunan parti itu.

“Kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak terjejas walaupun kalah dalam pemilihan parti. Pelantikan jawatan nombor satu dalam negara itu tertakluk kepada sokongan majoriti Parlimen. Beliau akan kekal relevan dalam politik negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, walaupun wujud kebimbangan mengenai kestabilan parti sekiranya dua jawatan utama itu dipertandingkan, kekuatan sebenar parti bukan terletak pada pertandingan dalaman, sebaliknya pada keupayaan parti mengurus pertandingan secara demokratik dan profesional.

“Paling penting pastikan proses pemilihan dijalankan dengan telus dan profesional, selain fokus kepada isu-isu substantif yang boleh membawa parti dan negara ke hadapan,” katanya.

Menurutnya, ia memerlukan kematangan semua pihak dan komitmen kepada prinsip-prinsip demokrasi yang menjadi tunjang perjuangan PKR sejak penubuhannya.

“Pertandingan dalam pemilihan bukan mengenai siapa menang atau kalah, tetapi lebih kepada bagaimana ia boleh mengukuhkan institusi parti dan demokrasi secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

“Akhirnya, kejayaan pemilihan parti akan diukur bukan dari ketiadaan pertandingan, tetapi dari keupayaan parti untuk menjadi lebih kuat dan bersatu selepas proses tersebut,” ujarnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pemilihan parti juga merupakan titik penting dalam evolusi politik negara, khususnya sebagai parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pertandingan jawatan utama bukan sekadar ritual, tetapi satu mekanisme penting. Tidak hairanlah sama ada jawatan utama parti perlu dipertandingkan atau tidak mencetuskan perbahasan kalangan ahli parti dan pemerhati politik.

“Harus diingat, pertandingan dalam pemilihan parti adalah asas kepada prinsip demokrasi selain memberi peluang kepada ahli memilih pemimpin mengikut aspirasi mereka.

“Ia juga menunjukkan kematangan organisasi mengamalkan nilai demokrasi. Ahli parti perlu diberi hak menentukan hala tuju kepimpinan. Pertandingan membolehkan suara akar umbi didengari serta membina budaya politik terbuka dan inklusif,” jelasnya.

Menurutnya, ada ketikanya parti memerlukan pembaharuan biarpun berdepan risiko.

“Menerusi pertandingan, ia membuka ruang untuk idea dan pendekatan baharu. Ia juga membolehkan regenerasi kepimpinan secara semula jadi selain mengelakkan stagnansi dalam parti.

“Ada berpendapat jawatan utama tidak perlu dipertandingkan untuk kestabilan parti atau mengelakkan perpecahan dalaman. Ada yang mahu tiada pertandingan jawatan Presiden bagi memastikan fokus kepada pentadbiran kerajaan tidak terganggu,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pertandingan sebenarnya mampu memperkukuhkan atau mencabar kedudukan dalam parti, selain dapat menilai tahap sokongan sebenar.

“Ia bukan sahaja menjadi platform untuk perbaharui visi dan misi parti. Pemimpin yang menang pertandingan mendapat mandat lebih kuat, dapat tingkatkan keyakinan ahli terhadap kepimpinan beliau dan menjadi ruang membuktikan sokongan akar umbi,” ujarnya.

Menurutnya, parti yang kuat mampu mengurus pertandingan secara matang dan pada masa sama mengukuhkan amalan demokrasi dalam parti.

“Ia bukan hanya beri kesan jangka pendek, tetapi perspektif jangka panjang. Selain

membina institusi parti lebih kukuh dan memupuk budaya politik matang, ia mewujudkan suasana lebih sihat.

“Pertandingan membuka ruang kepada pemimpin muda untuk ke hadapan dan memastikan kesinambungan kepimpinan bagi mengelak sindrom ‘irreplaceable leader’.

“Namun cabaran dan risiko tetap ada dalam memastikan pertandingan diadakan secara profesional bagi mengelak perpecahan pasca pemilihan serta memastikan perpaduan parti terpelihara,” jelasnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, PKR perlu melakukan penambahbaikan dalam sistem pertandingan agar proses pemilihan telus dan adil.

“Wujudkan platform debat dan perbincangan, galakkan kempen berasaskan idea dan polisi kepada calon.

“Untuk pasca pemilihan, parti itu perlu rangka strategi penyatuan selepas pemilihan berakhir dengan integrasikan idea-idea dari semua pihak bagi memastikan kesinambungan agenda parti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!