Pelakon 'Bloodhounds', Kim Sae-ron ditemui mati dalam rumah

PELAKON yang terkenal dengan siri Netflix Bloodhounds, Kim Sae-ron, ditemui meninggal dunia di rumahnya pada 16 Februari.
Pada saat kematiannya pelakon Korea Selatan itu berusia 24 tahun. Menurut pihak polis, mayat Sae-ron telah dijumpai oleh rakannya yang memeriksa rumah selebriti itu setelah pelakon tersebut tidak muncul untuk pertemuan mereka.
“Kami belum menemui sebarang tanda perbuatan khianat setakat ini, tetapi kami sedang menyiasat keadaan kematiannya,” kata pegawai polis kepada Yonhap News Agency.
Sae-ron memulakan kerjaya lakonan ada usia sembilan tahun menerusi filem A Brand New Life.
Kemudian, dia membintangi filem seperti The Man From Nowhere, A Girl at My Door, dan filem The Villagers pada tahun 2018 sebelum lebih banyak memberi tumpuan kepada projek televisyen.
Selain itu, pelakon ini turut membintangi rancangan seperti Glamorous Temptation, Mirror of the Witch, versi Korea Selatan Leverage, Excellent Shaman Ga Doo Shim, dan Kiss Sixth Sense.
Kali terakhir Sae-ron muncul di skrin adalah sebagai Kim Hyeon-joo dalam siri Korea Selatan Bloodhounds, yang ditayangkan di Netflix pada tahun 2023.
Pada tahun 2022, kerjayanya terhenti selepas insiden memandu dalam keadaan mabuk, di mana dia melanggar penghadang jalan dan sebuah transformer elektrik.
Dia kemudian dijatuhi hukuman denda sebanyak 20 juta won atau kira-kira RM63,000.
Sae-ron jarang memuat naik hantaran di akaun Instagramnya. Hantaran terakhirnya, yang dikongsi adalah pada Januari lalu yang menampilkan potret solo dirinya dengan kapsyen emoji hati berwarna biru muda.
Bukan calang-calang pelakon, sepanjang kerjayanya, Kim pernah dinobatkan sebagai Pelakon Kanak-Kanak/Baru Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik. -Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!