Dakwaan ditangkap khalwat tidak jejaskan Nadeera Zaini

Nadeera berhasrat untuk meneruskan perjuangan di pentas AJL selepas ini.
Nadeera berhasrat untuk meneruskan perjuangan di pentas AJL selepas ini.
A
A
A

PENYANYI Nadeera Zaini menegaskan dakwaan liar mengenai dirinya ditangkap khalwat sedikit pun tidak menjejaskan tumpuannya menghadapi Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).

Menurut pemilik nama penuh Farah Nadeera Zaini itu, sebaik mengetahui dakwaan liar tersebut daripada pasukannya dan enggan mengambil pusing mengenai spekulasi yang tersebar.

“Saya tidak fikir langsung mengenai perkara itu. Saya hanya memberi tumpuan penuh kepada AJL sepanjang sebulan ini. Media sosial pun saya tidak lihat, semua diuruskan oleh pasukan saya,” katanya.

Tambah pemilik nama penuh Farah Nadeera Zaini itu, dia tidak pasti mengapa namanya terpalit dengan kes berkenaan dan memaafkan mana-mana pihak yang memfitnahnya.

"Andai kata ada orang yang mencuba untuk jatuhkan saya, saya maafkan orang itu.

"Saya harap orang itu pun bertaubat kerana kita nak dekat bulan puasa," jelasnya yang tidak mengambil pusing siapa gerangan sebenar penyanyi ditangkap khalwat itu.

Terdahulu, seorang penyanyi wanita yang merupakan bekas peserta program realiti telah ditangkap khalwat selepas didakwa bersekedudukan bersama individu berstatus suami orang di sebuah rumah sewa.

Bagaimanapun Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nur Syamira Md Suffri mengesahkan bahawa Nadeera tiada kaitan dengan isu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas kemenangannya di pentas AJL39, wanita berusia 32 tahun itu mengakui terharu kerana penglibatan pertamanya membuahkan hasil.

Lebih terharu apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut memuji persembahan dan menjangkakannya memenangi trofi Vokal Terbaik.

“Saya tidak menyangka beliau akan memberikan komen sebegitu. Saya hanya mampu meminta maaf kerana ini sahaja yang mampu saya lakukan dan rezeki yang ALLAH berikan.

“Ini juga hadiah paling terindah buat saya. Saya ingin memberi semangat kepada pendatang baharu bahawa jika kita tidak berputus asa, kejayaan pasti akan tiba. Kuasa Tuhan, insya-ALLAH,” ujarnya yang merasakan masih kerdil dalam industri seni.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!