Hening Rindu dijulang Lagu Terbaik AJL39

IMPIAN penyanyi Marsha Milan untuk menjulang trofi Lagu Terbaik sebelum ini akhirnya menjadi kenyataan di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, manakala lirik oleh Ikhwan Fatanna iaitu Hening Rindu nyanyian Marsha dinobatkan sebagai Lagu Terbaik AJL39.
Kemenangan itu menyaksikan Marsha, Ikhwan dan Wan Saleh membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000 beserta trofi.

Lagu kegemaran ramai, Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini dipilih selaku naib juara AJL39. Karya ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh itu membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Dalam pada itu, lagu nyanyian dan ciptaan Akim & The Majistret, manakala lirik oleh Bunga Cantik berjudul Saksama memenangi tempat ketiga dan menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000 dan trofi.
Sementara itu, Ernie Zakri merampas semula trofi Vokal Terbaik menerusi lagu Aura, manakala Aina Abdul mengekalkan trofi Persembahan Terbaik. Kedua-dua penyanyi itu membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.
AJL39 yang bertemakan NadaRasa diacarakan oleh Sissy Iman bersama Naz Rahman dan bersiaran secara langsung di TV3 dan strim melalui Tonton.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Shiha Zikir, Noki, Wanie Kayrie, Ara Johari, kumpulan Ukay’s dan Sham Visa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!