'Tak sempat selamatkan baju sekolah cucu'

Mohd Razali menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Toh Paduka Raja di sini pada Ahad.
Mohd Razali menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Toh Paduka Raja di sini pada Ahad.
A
A
A

PASIR SALAK - Kehilangan rumah akibat kebakaran menjelang bulan Ramadan amat memilukan buat sebuah keluarga di Kampung Toh Paduka Raja di sini dalam kejadian pada Sabtu.

Mangsa, Mohd Razali Othman, 58, berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 petang itu berlaku sekelip mata menyebabkan ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama isteri, dua orang anak dan dua orang cucu berada di dalam rumah sedang berehat.

"Masa itu isteri saya nampak api dari dapur rumah dan kami terus keluar sebelum api marak. Kami cuma sempat selamatkan dokumen penting dan alihkan motosikal, yang lain semua terbakar.

"Seorang cucu saya akan masuk Tahun Satu esok, baju sekolah semua terbakar, memang semua tak sempat nak selamatkan. Memang ini dugaan yang besar bagi kami sekeluarga namun saya reda dengan ujian ini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Toh Paduka Raja di sini pada Ahad.

Khairul Azwan (dua dari kanan) melihat keadaan rumah Mohd Razali yang musnah dalam kebakaran tersebut.
Khairul Azwan (dua dari kanan) melihat keadaan rumah Mohd Razali yang musnah dalam kebakaran tersebut.

Di sebalik musibah yang menimpa itu, Mohd Razali tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan dia hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, buat masa ini sebahagian ahli keluarganya tinggal di dalam khemah sebelah rumah yang terbakar itu manakala cucunya menumpang sementara di rumah besan di kampung berhampiran.

"Melihat keadaan rumah ini memang sedih sebab ini rumah pusaka yang jadi tempat berkumpul adik beradik setiap kali hari raya. Namun apakan daya sudah takdir ALLAH.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap sangat ada pihak yang sudi membantu membina rumah baru di tapak berhampiran rumah ini secepat mungkin. Sebarang bentuk bantuan saya alu-alukan, tak kisah daripada siapa pun saya terima," katanya sebak.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Khairul Azwan Harun yang turut menziarahi mangsa memaklumkan kejadian tersebut dalam perhatian kerajaan negeri.

Katanya, permohonan bagi mendapatkan kediaman baharu buat Mohd Razali sedang diuruskan pejabatnya secepat mungkin.

Jelasnya, buat masa sekarang agensi berkaitan akan turun melihat keperluan lain mangsa dan ahli keluarganya sementara rumah baru siap dibina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!