Stor e-waste terbakar, operasi diteruskan di hari ketiga

SEGAMAT - Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan pemantauan kejadian kebakaran bahan aluminium di sebuah stor disyaki simpanan sampah elektronik (e-waste), di Kampung Usaha Jaya, di sini.
Ketua Pengarah Bomba, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.05 pagi, Jumaat.
Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis telah dikejarkan ke lokasi.
"Operasi pemadaman tidak boleh menggunakan air dan 'foam' (bahan pemadam api jenis buih) kerana bahan tersebut bertindak balas menghasilkan gas hidrogen yang merbahaya.
"Pasukan bomba memadam menggunakan kaedah menyelimuti bahan yang terbakar menggunakan tanah dan pasir sebelum kebakaran dipadamkan sebanyak 30 peratus," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambahnya, kerja-kerja pemadaman masih diteruskan dan telah memasuki hari ketiga pada Ahad.
Jelasnya, kebakaran melibatkan aluminium dross (UN3170) di dalam stor terbabit.
"Pegawai Hazmat telah hadir di lokasi untuk memberikan khidmat nasihat teknik pemadaman.
"Satu unit excavator dan dua jentolak digunakan dalam operasi ini selain bantuan keanggotaan dari BBP Bandar Baru Segamat, BBP Yong Peng serta BBP Penggaram," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
