11 termasuk kanak-kanak cemas terperangkap arus deras

TANJUNG MALIM - Seramai 11 individu termasuk empat kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam arus deras sungai di Lata Perangin Muallim di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut jam 6.15 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim tiba di lokasi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, kejadian berlaku ketika mangsa terdiri daripada 11 orang melibatkan keluarga dan rakan-rakan membuat aktiviti mendaki serta mandi-manda di lata berkenaan.
"Maklumat awal dari mangsa memaklumkan ketika hendak balik dari lokasi mandi, mangsa tidak dapat menyeberangi sungai tersebut disebabkan terlalu deras.
"Ketika anggota bomba sampai di lokasi, komander operasi melihat mangsa cuba untuk menyeberangi sungai tersebut dan berjaya menyeberangi dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sabarodzi berkata, anggota JBPM yang terlibat kemudiannya mengiringi mangsa turun dari kawasan Lata Perangin tersebut.
Menurutnya, keadaan kesemua mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, operasi yang disertai tujuh anggota dengan dua jentera itu terkawal pada jam 6.50 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 7.37 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!