Siti Saleha kini isteri Joshua Fitton

AKTRES popular, Siti Saleha, 35, sah bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton, 38, dalam majlis akad nikah secara tertutup yang diadakan di sebuah resort mewah di Janda Baik, Bentong, Pahang, pada Sabtu.
Majlis akad nikah pelakon drama '7 Hari Mencintaiku' itu disempurnakan bapa pengantin perempuan, Mohd Baharum Abdul Rahman.
Difahamkan, pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran, dibalas tujuh hantaran oleh pengantin perempuan.
Bagaimanapun, pasangan tersebut tidak memaklumkan secara terperinci mengenai perkahwinan mereka di media sosial masing-masing.
Pasangan kacukan Melayu-Inggeris itu dilihat menggayakan busana rona putih hasil Atelier FITTON dan ditatarias oleh Khir Khalid dan Yusof Ruzaimi.
Pada 2022, Siti Salena secara terbuka mengakui sedang menjalin cinta dengan Joshua selepas mereka hadir ke sebuah acara anugerah bersama.
Pemenang trofi Bintang Asia Terbaik - Malaysia, Anugerah Drama Antarabangsa Seoul di Seoul, Korea Selatan itu kemudiannya berkongsi berita gembira mengikat tali pertunangan pada November tahun lalu.
Untuk rekod, Siti Saleha pernah mendirikan rumah tangga bersama seorang lelaki dikenali sebagai Ahmad Lutfi Azhar pada Julai 2017, namun bercerai lima tahun kemudian pada 17 Januari 2022 di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!