Salah laku DBKL: Dr Zaliha tunggu taklimat siasatan dalaman

Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa akan menentukan tarikh sesuai bagi mendengar taklimat siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku yang mengaitkan pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki.

Ujar Zaliha, siasatan melibatkan perolehan projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu sudah berada di peringkat akhir ketika ini.

“Saya akan menentukan tarikh yang sesuai untuk mendengar taklimat itu yang dijangka diadakan secepat mungkin.

"Saya pasti ramai yang tahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menyiasat kes ini dan kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak penguat kuasa yang bertanggungjawab," katanya selepas majlis perasmian Karnival Sukan Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2025 pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.

Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial, sejak Jumaat. Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Dalam kenyataan susulan di media sosial, Afdlin menafikan dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah DBKL.

Dakwa Afdlin, isu berkenaan sengaja dimainkan untuk memburukkan namanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!