SPRM kaji maklumat DBKL, jamin siasat secepat mungkin

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengkaji maklumat yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengesahkan sama ada berlaku isu jenayah dibawah kesalahan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau tidak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memberi jaminan siasatan akan dilakukan secepat mungkin sekiranya terdapat unsur rasuah.
Menurutnya, bagaimanapun setakat ini SPRM tetap mengatakan tiada kertas siasatan dibuka.
"Jika nampak isu integriti atau tatakelola siasatan segera akan dilakukan, Isnin nanti kami kemas kini sama ada buka apa jenis siasatan sama ada jenayah atau tatakelola.
"Kalau berlaku dua-dua, bahagian siasatan akan dilakukan serentak dengan tatakelola," jelasnya dalam sidang akhbar di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang juga seorang penerbit dan pengarah filem, Afdlin Shauki dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial, sejak Jumaat. Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Dalam kenyataan susulan di media sosial, Afdlin menafikan dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah DBKL dan mendakwa isu berkenaan sengaja dimainkan untuk memburukkan namanya.
Tambah Azam, siasatan perlu dilakukan kerana dikhuatiri mungkin timbul penganiayaan terhadap individu tertentu.
"Ini kerana, bukan semua yang datang daripada maklumat awam sama ada keluar dari media sosial akan terus diambil tindakan.
"Sebab itu kita biarkan dulu DBKL buat siasatan dalaman. Ketua unit integriti pun memang telah ditempatkan disana, pegawai saya juga terlibat dengan siasatan itu.
"Berdasarkan kerjasama yang baik daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Shari, pihak mereka telah pun membekalkan dokumen kepada kami antaranya minit mesyuarat dan lain-lain," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

