Bot terbalik, seorang dikhuatiri lemas

MERLIMAU - Seorang lelaki dikhuatiri lemas dalam insiden bot terbalik di Loji Lanchang, Kampung Lanchang di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, bot tersebut dinaiki empat mangsa terdiri sebuah keluarga dipercayai untuk menjala ikan.
Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abdillah Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.36 pagi sebelum 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin Bestari digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun, wanita berusia 35 tahun dan kanak-kanak lelaki 10 tahun berjaya diselamatkan orang awam.
"Tiga mangsa yang terselamat telah dibawa ke hospital sementara seorang lagi mangsa masih dilaporkan hilang.
"Mangsa yang masih hilang ialah pemuda berusia 21 tahun dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan," katanya.
Katanya, operasi pencarian mangsa menggunakan teknik 'water surface' membabitkan dua buah bot dari BBP Jasin Bestari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!