Mahkamah Rayuan kurangkan ganti rugi dibayar MPK daripada RM117 juta kepada RM3 juta

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Majlis Perbandaran Klang (MPK), kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang kepada pemaju hartanah NBC Land Sdn Bhd daripada RM117 juta kepada RM3 juta dalam pertikaian berhubung kerja-kerja pemulihan bekas tapak pelupusan sampah.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ismail Brahim, K Muniandy dan Datuk Dean Wayne Daly turut mengetepikan faedah prapenghakiman hampir RM50 juta yang sebelum ini dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Ketika menyampaikan alasan penghakiman penuh, Hakim Muniandy berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam jelas terkhilaf dari segi prinsip dan undang-undang dalam penilaian ganti rugi, sekali gus mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
"Ganti rugi kontrak akibat pelanggaran perjanjian bertarikh 2 Disember 2003 hendaklah dinilai berdasarkan kerja-kerja yang diperuntukkan dalam kontrak itu, iaitu kaedah penutupan tapak dengan lapisan tanah yang dianggarkan menelan kos RM6 juta, dengan perayu (MPK) perlu menanggung 50 peratus daripada kos tersebut,” katanya.
Muniandy berkata, perjanjian yang dicapai antara pihak-pihak berkenaan bukanlah jaminan terbuka oleh PBT untuk mengeluarkan semua sisa atau menukarkan tapak pelupusan itu menjadi tanah asal yang belum terusik.
Sebaliknya, persetujuan itu berdasarkan cadangan khusus daripada perunding syarikat itu sendiri untuk melaksanakan kaedah penutupan tanah secara in situ dengan menimbus sisa menggunakan lapisan tanah yang dipadatkan setebal kira-kira 1.5 meter, pada anggaran kos RM6 juta.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi sama rata anggaran kos RM6 juta itu, masing-masing menanggung 50 peratus (RM3 juta setiap pihak),” katanya.
Muniandy berkata, Mahkamah Tinggi turut terkhilaf dari segi undang-undang apabila memberikan faedah prapenghakiman di bawah Seksyen 11 Akta Undang-Undang Sivil 1956, memandangkan pemberian faedah itu tidak dapat dikekalkan kerana kerja-kerja pemulihan tidak pernah dilaksanakan, tapak pelupusan sampah itu juga tidak pernah dikorek dan kontraktor pihak ketiga juga tidak dibayar.
"Pemberian faedah prapenghakiman bagi tempoh hampir sembilan tahun, berjumlah kira-kira RM50 juta, berdasarkan anggaran kos kerja-kerja yang belum dilaksanakan dan belum dimuktamadkan jumlahnya, menghukum perayu (MPK) serta memberikan keuntungan luar biasa yang tidak dibenarkan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, mahkamah menggantikan jumlah ganti rugi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dengan RM3 juta, iaitu bersamaan 50 peratus daripada kos pemulihan berjumlah RM6 juta yang dipersetujui untuk ditanggung oleh PBT berkenaan.
NBC Land memperoleh tanah itu dan mendapat kelulusan untuk pembangunan perumahan. Tidak dipertikaikan bahawa NBC Land mengetahui tanah berkenaan pernah digunakan sebagai tapak pelupusan sampah ketika pemerolehan tanah itu.
Pada 2 Disember 2003, hasil perbincangan antara pihak-pihak terlibat, satu perjanjian dicapai yang menetapkan bahawa PBT bersetuju melaksanakan kerja-kerja pemulihan tanah berkenaan dan menanggung 50 peratus daripada kos pemulihan yang dianggarkan berjumlah RM6 juta. Bagaimanapun, PBT tidak melaksanakan kerja-kerja pemulihan tersebut.
Pada Julai 2020, panel terdahulu Mahkamah Rayuan memutuskan PBT itu telah melanggar perjanjian berkenaan dan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi.
Mahkamah Tinggi pada Februari tahun ini memutuskan penghakiman yang memihak kepada syarikat itu dengan ganti rugi berjumlah RM117 juta.
Pada prosiding hari ini, Tan Sri Tommy Thomas, Datuk Seri Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Muhd Fadzli Amin Muhd Yusoff dan Atiqah Azman mewakili MPK, manakala Harold Tan Kok Leng mewakili NBC Land. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
