'Sorok' dadah tengah laut

PUTRAJAYA - Pelbagai jenis bot serta taktik digunakan sindiket bagi membawa dadah masuk melalui perairan negara.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendedahkan antara yang digunakan ialah bot kayu, bot fiber bersaiz kecil, bot pancung dan bot rekreasi berkuasa tinggi.
Malah, ada dadah tersebut dibungkus dan diletakkan di tengah laut sebelum diambil oleh sindiket.

Penggunaan bot digunakan sindiket bergantung kepada situasi dan kuantiti dadah yang diseludup masuk.
Mendedahkan kegiatan haram itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kumpulan itu dikenal pasti menggunakan pelbagai jenis bot berdasarkan keperluan operasi dan muatan membawa barangan diseludup.
Menurutnya, bot fiber kecil dengan enjin berkuasa 40 hingga 60 kuasa kuda (hp) digunakan untuk penghantaran kecil, manakala bot pancung dan bot rekreasi berkuasa tinggi antara 150 hingga 250hp digunakan bagi muatan besar.

“Penggunaan bot bersesuaian mengikut operasi dilaksanakan adalah bertujuan membolehkan mereka melarikan diri dengan pantas sekiranya dikesan.
“Bot kayu sepanjang 18 meter pula sering digunakan oleh sindiket dadah dari Thailand dan Indonesia yang mana tempat penghantaran kebiasaannya berdekatan sempadan perairan negara.
“Kegiatan ini dilakukan pada waktu malam hingga awal pagi atas faktor keadaan laut yang gelap akan menyukarkan pihak berkuasa mengesan selain memudahkan bot tempatan merapat atau bot penyeludup akan terus mendarat di lokasi ditetapkan,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, Maritim Malaysia juga mengesan sindiket yang beroperasi pada waktu siang hari dan berlagak melakukan aktiviti sah seperti nelayan kononnya mahu mengelak kecurigaan.

Mohd Rosli berkata, bekalan dadah kebiasaannya disembunyikan di dalam guni, tong, pelampung atau boya di tengah laut yang sering diletakkan di kawasan sibuk dengan kapal dagang untuk memudahkan penyeludupan dilaksanakan.
Selain itu kata beliau, sindiket turut menggunakan bungkusan susu tepung, gula atau teh Cina.
“Setiap bungkusan teh Cina yang diletakkan terapung di permukaan laut dipercayai mengandungi satu kilogram (kg) dadah jenis syabu.
“Bagi dadah jenis ganja mampat, ia secara kebiasaannya dibalut dengan plastik lut sinar dan diletakkan dalam karung guni,” ujarnya.
Kata Mohd Rosli, selain dadah, barangan yang kerap menjadi sasaran aktiviti penyeludupan ialah barang kawalan bersubsidi seperti minyak petrol, diesel, minyak masak, tong gas petroleum cecair (LPG), gula serta tepung kerana barang-barang tersebut mendapat permintaan tinggi di negara jiran.
Selain itu, katanya lagi, terdapat juga barang-barang kontraban seperti rokok yang diseludup masuk ke Malaysia ekoran harga runcit rokok yang tinggi.
“Kita juga ada mengesan suspek yang cuba menyeludup keluar binatang liar dari Malaysia ke negara-negara jiran berdasarkan permintaan dalam kalangan penggemar makanan eksotik,” katanya.
Perkukuh kerjasama antara agensi
Menurut Mohd Rosli, dalam usaha menangani jenayah penyeludupan, Maritim Malaysia menempatkan aset kapal dan bot yang melakukan operasi rondaan 24 jam.
“Kami juga banyak melakukan operasi bersama agensi-agensi sahabat, selain berkongsi maklumat bagi sama-sama menangani isu penyeludupan di persempadanan negara.
“Maritim Malaysia sering meningkatkan kerjasama keselamatan perairan dengan agensi luar negara seperti Indonesia, Thailand, Australia, Jepun, Amerika Syarikat dan Filipina melibatkan pelbagai bidang terutama usaha menangani jenayah maritim, perkongsian maklumat perisikan serta siasatan.
“Sebagai contoh, kerjasama erat ini dicapai menerusi Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah,” ujarnya.
Mohd Rosli berkata, pihaknya turut melaksanakan operasi bilateral bersama negara jiran Indonesia melalui pembentukan Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) di bawah Jawatankuasa Kawalan Operasi Terkoordinasi (COCC).
Jelasnya, TPOM dikendalikan oleh Maritim Malaysia selaku Ketua TPOM Malaysia dan Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) selaku Ketua TPOM Indonesia.
Selain itu, pelaksanaan Operasi Redback yang disokong di bawah Civil Maritime Security Working Group (CMSWG) antara Australia dan Malaysia merupakan inisiatif pembinaan kapasiti yang diselaraskan secara strategik selain aktiviti bersama seperti pertukaran risikan, meningkatkan keupayaan komunikasi dan pertukaran kemahiran operasi.
Mendepani cabaran
Mohd Rosli berkata, keluasan Zon Maritim Malaysia (ZMM) merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif seluas 614,000 kilometer persegi dan 148,307 kilometer persegi perairan wilayah.
“Ia satu kawasan luas yang memerlukan komitmen sangat tinggi untuk menangani sebarang cabaran terutama di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
“Untuk itu, kesiapsiagaan aset adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian serta penekanan sewajarnya bagi melindungi perairan negara dan nyawa petugas,” ujarnya.
Menurut beliau, aset yang mencukupi akan digunakan dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan dan pengoperasian di laut, seterusnya membanteras aktiviti jenayah di ZMM.
Jelasnya, aset sedia ada perlu ditambah dan dipertingkatkan daripada aspek kemampuan teknologi supaya jenayah rentas sempadan dapat diatasi dengan lebih sistematik.
Sementara itu katanya, situasi geopolitik turut memainkan peranan dalam penugasan anggota Maritim Malaysia.
“Perkembangan semasa di Laut China Selatan tidak dinafikan telah memberikan kesan terhadap keselamatan dan hubungan antarabangsa antara Malaysia dan negara-negara yang mempunyai minat di kawasan terbabit.
“Terdapat beberapa aspek utama membabitkan situasi geopolitik semasa yang menjadi cabaran bagi pihak Maritim Malaysia termasuk di kawasan Pertikaian Zon Maritim,” ujarnya.
Mohd Rosli berkata, pihaknya akan terus menjadi barisan hadapan dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan kedaulatan perairan negara.
Maritim Malaysia perkasakan aset
Menurut Mohd Rosli berkata, pihaknya merancang melaksanakan pemodenan aset berdasarkan satu teras utama yang berada dalam Pelan Strategik APMM 2023-2033.
Beliau berkata, ia bertujuan memastikan perolehan aset baharu termasuk aset udara, selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
“Pelan penggantian aset akan dilaksanakan secara komprehensif bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos penyelenggaraan dalam jangka masa panjang.
“Bagi mengoptimumkan operasi aset- aset sedia ada, repowering dan juga ship life extension programme (SLEP) juga akan dilakukan untuk memanjangkan jangka hayat aset sedia ada dengan kos yang lebih efektif.
“Malah Maritim Malaysia akan turut memperkukuh pengoperasiannya dengan meneruskan perolehan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) 2 dan OPV 3,” ujarnya.
Jelas beliau, OPV memiliki keupayaan untuk beroperasi pada jarak jauh, berkemampuan melaksanakan pelbagai misi dan dilengkapi peralatan berteknologi moden.
Katanya, teknologi moden yang diguna pakai pada OPV ialah sistem navigasi bersepadu, pesawat udara tanpa pemandu, Sistem Bantuan Pendaratan Visual Helikopter (HVLAS) serta peralatan kawalan tumpahan minyak.
“Maritim Malaysia juga bakal menerima beberapa buah kapal baharu bersaiz besar dan sederhana serta helikopter dilengkapkan dengan teknologi terkini.
“Perolehan aset-aset ini sudah pasti akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan operasi carilamat, selain menzahirkan komitmen agensi penguatkuasaan ini dalam menjaga kedaulatan perairan negara selaras dengan misi dan visi sedia ada,” ujarnya.Sementara itu, Mohd Rosli berkata, pihaknya juga beroperasi dengan Sistem Pengawasan Laut atau SWASLA sejak 2005.
Tegas beliau, SWASLA berkesan dalam memantau perairan negara dan membendung penyeludupan pendatang asing tanpa izin, pencerobohan bot nelayan asing dan jenayah maritim yang lain.
“Keupayaan teknologi SWASLA menggunakan teknologi radar, Sistem Pengenalan Automatik (AIS), kamera serta sistem komunikasi untuk pemantauan berterusan.
“Teknologi ini membolehkan pengawasan yang lebih efektif dalam mengesan pergerakan kapal atau bot yang mencurigakan,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, sistem tersebut juga mampu memantau kawasan perairan yang luas termasuk kawasan yang sukar diakses oleh aset fizikal seperti kapal atau bot peronda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!