Razman sedia lawan di mahkamah sebab buku Becoming Hannah

IPOH - Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengesahkan kesediaan untuk membela diri di mahkamah susulan ucapan yang didakwa memfitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkaitan kandungan buku Becoming Hannah.
Menurutnya, menerusi Notis Tuntutan Hannah melalui peguam Tetuan Karpal Singh & Co bertarikh 28 Januari 2025, terdapat dua bahagian yang dipetik sebagai berunsur fitnah terhadap pemimpin DAP itu.
Jelasnya, bahagian pertama mengenai tuduhan bahawa Hannah ialah anak kepada Pengasas YTL Corporation, Tan Sri Yeoh Tiong Lay (YTL) yang telah dikemukakan permohonan maaf serta menarik balik kenyataan tersebut.
"Bahagian kedua kenyataan saya adalah mengenai risiko Hannah Yeoh berada dalam Kabinet sebagai menteri kerana dalam buku Becoming Hannah yang ditulis terdapat pengakuan beliau sebagai Duta Tuhan kepada agama Kristian untuk kembali ke tanah air bagi menyebarkan agama Kristian di Malaysia melalui pejabat politiknya.
"Sesungguhnya dalam konteks Bahagian kedua ucapan saya berkenaan, saya bersedia untuk membela diri di mahkamah dan Peguam saya daripada Tetuan Azam Aziz & Co telah menjawab Notis Tuntutan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Razman turut membidas laporan beberapa portal berita yang disifatkan tidak seimbang kerana hanya mengaitkan tuduhan berkaitan YTL.
Menurutnya, bahagian kedua tuntutan tersebut tidak pernah dibangkitkan secara terbuka tetap hanya mengulang-ulang bahagian pertama dalam ucapan yang didakwa fitnah itu.
"Saya percaya motif hanya membangkit bahagian pertama ucapan saya dibuat dengan niat jahat untuk merosakkan imej saya dengan dijadikan sasaran mudah.
"Ini juga bagi mengaburi mata orang awam daripada menyedari bahawa bahagian kedua ucapan saya adalah sesuatu yang benar tertulis dalam buku tersebut dan merupakan satu ancaman kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.
Pada 27 Januari lalu, Razman dalam satu kenyataan mengakui wujud kesalahan fakta dalam ucapannya yang mendakwa Hannah sebagai ‘anak YTL’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata, sebahagian ucapan yang dibuat pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit pada Ahad itu berlaku tanpa sengaja.
Hannah menerusi platform media sosial X memaklumkan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap Razman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!