'Jumpa di mahkamah' - Peguam Razman

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menyatakan kesediaannya untuk bersemuka dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di mahkamah sivil bagi menyelesaikan sebarang kemungkinan saman fitnah.
Memetik laporan Malaysiakini, peguam Khairul Azam Abdul Aziz mengesahkan Razman telah menjawab surat tuntutan Hannah berhubung dakwaan menggunakan jawatan menteri untuk menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam.
Surat tuntutan itu juga berkaitan kenyataan yang mendakwa pemimpin DAP itu sebagai anak pengasas YTL Corporation Berhad Yeoh Tiong Lay.
Ditanya mengenai jawapan Razman berhubung perkara tersebut, Khairul Azam memberitahu, pihaknya sedia berjumpa di mahkamah.
“Jumpa di Mahkamah Tinggi Ipoh," katanya pada Jumaat.
Sebelum ini,, Razman memohon maaf kepada Hannah atas kesilapan yang dibuat semasa ucapan selama 30 minit, dengan petikan satu minit mengandungi dakwaan itu menjadi tular.
Kesilapan itu adalah kerana mengaitkan Yeoh sebagai anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad Yeoh Tiong Lay.
Hannah kemudiannya menggunakan platform media sosial X dan memberi amaran tentang tindakan undang-undang terhadap Razman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!