'Kalau silap minta maaf, bukan beri alasan video disunting' - Syahredzan

Syahredzan
Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa DAP, Syahredzan Johan menempelak tindakan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Syahredzan mendakwa, meskipun akui khilaf dan memohon maaf kepada Hannah dan Kumpulan YTL, pihaknya percaya Razman berbuat demikian hanya kerana perkara tersebut tular serta takut disaman.

Menurut ahli Parlimen Bangi itu, Razman tidak patut memberikan alasan bahawa video percakapan beliau disunting untuk dijadikan tajuk berita kerana kenyataan yang dibuat 'sudah terang lagi bersuluh'.

"Jika betul silap, minta maaf dan mengaku. Tidak perlu beri ‘mukadimah’ tentang video dipotong atau sebagainya, itu semua alasan. Kalau sekali buat, kami boleh bersangka baik.

"Tetapi, dah berkali-kali memfitnah. Susah untuk kami (DAP) percaya kepada pemfitnah berulang.

"Kami cenderung percaya Razman hanya mengakui kekhilafan sebab ia sudah tular dan takut kena saman.

"Insaflah, tanya diri sendiri. Adakah perangai seperti ini boleh menjadi contoh kepada ahli Pas yang lain dan rakyat secara amnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Tangkap layaran hantaran Razman di Facebook pada Isnin.
Tangkap layaran hantaran Razman di Facebook pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu ketika program ceramah di Seri Iskandar, Perak pada Ahad mendakwa Hannah mempunyai kaitan dengan Tiong Lay berikutan kedua-duanya memiliki nama keluarga yang sama.

Susulan itu, beliau mengakui terkhilaf dan memohon maaf Hannah serta Kumpulan YTL sekali gus mengakui kedua-duanya tidak mempunyai kaitan sama sekali.

Tambahnya, kenyataan dibuat secara tidak sengaja, namun dalam masa sama turut kecewa dengan agensi media yang melaporkan berita seolah-olah mencari kesilapan tanpa mengulas panjang ucapan atau isu lain sepanjang tiga hari program berlangsung.

Beliau juga berharap agar pemberitaan yang dilaporkan agensi media berbentuk menajamkan intelek, bukannya menimbulkan permusuhan dalam kalangan rakyat.

Terbaharu, Hannah menyelar dakwaan Razman dan menegaskan bahawa bukan semua individu bernama Yeoh mempunyai hubungan dengan syarikat gergasi itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!