Razman akui terkhilaf kaitkan Hannah Yeoh dengan YTL

IPOH - Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan konglomerat YTL.
Tular sebuah video berdurasi 19 saat memaparkan ucapan pemimpin Pas menyifatkan Hannah sebagai 'anak YTL' pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit pada Ahad.
"Saya mengakui kesilapan fakta tentang kaitan Hannah Yeoh dan syarikat gergasi YTL.
"Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL, ia kesilapan kod yang berlaku tanpa sengaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Pada masa sama, Razman turut meluahkan rasa kecewa dengan laporan daripada portal berita yang disifatkan sebagai sengaja melaporkan kesilapan berbanding kejayaan program anjuran parti tersebut.
"Pemberitaan itu merujuk ayat saya kira-kira kurang 10 saat daripada keseluruhan ceramah lebih setengah jam.
"Program Gerak Muafakat Ummah adalah program selama tiga hari melibatkan tiga dewan utama sayap Pas dengan kehadiran keseluruhan lebih 5,000 orang.
"Ucapan saya yang dipetik portal berita itu adalah ayat yang bukan isi utama apatah lagi ceramah tersebut menampilkan tiga tokoh utama," katanya.
Menurut beliau, dengan penjelasan tersebut diharapkan isu tersebut dapat difahami.
"Dengan kenyataan ini saya menyatakan kekesalan dan pernyataan maaf kepada pihak Hannah Yeoh dan YTL serta mana mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenyataan atas kekeliruan fakta tersebut.
"Saya mengharapkan isu ini di fahami dengan penjelasan yang saya berikan. Saya juga meminta pemberitaan berbentuk menajamkan intelek rakyat dan bukan menajamkan permusuhan dikalangan rakyat," katanya.
Terdahulu, portal media melaporkan Razman sekali lagi mencipta kontroversi mengaitkan Hannah Yeoh dan YTL.
"Hannah Yeoh anak orang kaya, anak YTL. YTL ini dulu Perak Hanjoong.
"Kecerdikan UMNO dulu, minta maaflah, kecerdikan UMNO dulu pergi jual Perak Hanjoong ini kepada YTL. Hannah Yeoh ini anak dialah," katanya.
Hasil carian mendapati Kumpulan YTL diasaskan oleh mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.
Kenyataan itu mendapat reaksi Hannah yang membidas Razman sambil mengingatkan Pas bahawa tidak semua individu bernama Yeoh mempunyai kaitan dengan YTL.
"Pas needs to know not all Yeohs are related," katanya ringkas menerusi akaun X pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
