Pahang akan segera selesaikan isu pemilikan tanah peneroka Felda

KUANTAN - Isu pemilikan tanah peneroka Felda akan diselesaikan segera bagi memastikan hak mereka terus terjamin dan dipelihara.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini, sebanyak 96 peratus daripada 43,126 peneroka Felda telah menerima suratan hak milik tanah.
Menurutnya, baki 1,840 peneroka masih dalam proses penyelesaian.
"Kita akan beri perhatian kepada isu pemilikan tanah ini dan berusaha memastikan semua peneroka Felda menerima hak mereka dalam tempoh sewajarnya.
"Insya-ALLAH, baki 1,840 peneroka akan kita percepatkan prosesnya agar semua peneroka di negeri ini mempunyai hak milik tanah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvensyen Sekretariat Muafakat Felda Pahang 2025 di Auditorium RTM Pahang di sini pada Khamis.
Menyentuh mengenai Sekretariat Muafakat Felda Pahang, Wan Rosdy memaklumkan Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menggerakkan sekretariat berkenaan bermula tahun ini.
Menurutnya, sekretariat itu ditubuhkan bagi mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dengan warga Felda, selain menjadi platform bagi peneroka menyuarakan hasrat mereka kepada kerajaan.
"Saya percaya, dengan adanya sekretariat ini, kita dapat menggerakkan lebih banyak inisiatif yang bermanfaat kepada generasi Felda, sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan dan juga sosial," katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan Pahang, melalui kerjasama dengan Felda akan melaksanakan Projek Skim Tanah Rakyat felda Pahang (STRFP).
Ujarnya, sehingga 31 Disember lalu, Felda telah selesai menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah yang melibatkan 63 rancangan Felda di seluruh negeri.
"Bagi Fasa 1 STRFP, sebanyak 16,035 lot rumah akan ditawarkan kepada generasi baharu Felda yang layak di seluruh Pahang.
"Kita telah menyerahkan 96 peratus suratan hak milik kepada peneroka yang terlibat, dan bakinya akan diselesaikan dalam masa terdekat," jelasnya.
Selain itu, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang telah bersetuju menyediakan dana berjumlah RM500,000 bagi Program Pembangunan Usahawan Generasi Felda melalui Program Usahawan Makmur.
"Semoga dengan inisiatif ini, ia dapat membantu generasi Felda Pahang meningkatkan sosio-ekonomi masing-masing demi kesejahteraan bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!