Kilang Beras Darul Naim beroperasi tahun ini

Bekalan padi lebih stabil di Kelantan. Gambar kecil: Tuan Mohd Saripudin
Bekalan padi lebih stabil di Kelantan. Gambar kecil: Tuan Mohd Saripudin
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan optimis Kilang Beras Darul Naim akan mula beroperasi tahun ini, sekali gus memperkukuh bekalan beras negeri dan menyumbang kepada keselamatan makanan negara.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pembukaan kilang ini dijangka memberi jaminan bekalan padi yang lebih stabil selain meningkatkan keupayaan negeri dalam pengeluaran beras.

“Kelantan mempunyai sekitar 40,000 hektar tanah yang ditanam padi dan menghasilkan beras.

“Tahun lalu, kami menghadapi sedikit penurunan hasil akibat pemanasan global dan perubahan cuaca namun terus berusaha memastikan infrastruktur pertanian diperkukuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri bersama Media Kelantan 2025 di sebuah hotel di Tunjong di sini pada Rabu.

Kilang padi Beras Darul Naim dijangka beroperasi tahun ini. Foto Ilustrasi AI.
Kilang padi Beras Darul Naim dijangka beroperasi tahun ini. Foto Ilustrasi AI.

Menurutnya, inisiatif ini selari dengan matlamat State Government 4 (SG4) merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis yang kini menyumbang hampir 80 peratus daripada bekalan beras negara.

“Mengikut rekod, Kelantan mencapai lebih 200 peratus Tahap Sara Diri bermakna, kami bukan sahaja mampu memenuhi keperluan rakyat negeri ini, tetapi juga membantu negeri-negeri lain.

“Kilang Beras Darul Naim ini juga akan menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil padi negeri dan mengukuhkan peranan Kelantan dalam memastikan kestabilan bekalan beras negera,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa kerajaan negeri ini sudah lebih 10 tahun menyalurkan bekalan beras percuma kepada rakyat yang memerlukan iaitu setiap bulan 13,500 penerima di seluruh Kelantan mendapat 10 kilogram beras, sekilogram minyak dan gula.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun bekalan beras tempatan tidak mencukupi secara keseluruhan tetapi Kelantan masih dapat menyalurkan subsidi dan bantuan makanan kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, selain industri padi, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada sektor perikanan dan ternakan bagi memastikan bekalan protein yang mencukupi.

“Kita berharap dengan adanya pembangunan infrastruktur lebih baik, sektor pertanian, perikanan, dan ternakan di Kelantan dapat berkembang.

“Ini bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi petani dan penternak, tetapi juga memperkukuh sekuriti makanan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!