Prosiding hina mahkamah beri kesan serius kredibiliti, integriti - Haniff Khatri

Haniff Khatri
Haniff Khatri
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan memfailkan tindakan hina mahkamah terhadap Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memberi kesan kepada beliau termasuk direhatkan daripada menjalankan sebarang tugas sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ia kerana prosiding berkenaan merupakan satu perkara serius di mana orang yang dituduh itu didakwa telah memungkiri tanggungjawabnya kepada mahkamah dalam kapasiti dan kedudukan prosiding terdahulu.

"Justeru ia menampilkan suatu dakwaan bahawa individu berkenaan telah gagal dalam tanggungjawab beliau dalam kerusi (bekas Peguam Negara) itu.

“Ini memberi kesan kepada kredibiliti dan integriti individu tersebut sama ada memegang kerusi itu atau mana-mana kerusi lain yang dia pegang pada masa kini.

“Itulah sebabnya pemfailan permohonan sahaja menampilkan persoalan adakah ia memberi kesan kepada kerusi Hakim Mahkamah Persekutuan yang kini dipegang oleh Ahmad Terrirudin,” katanya menerusi hantaran video di Youtube pada Rabu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Rabu akan memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin yang juga bekas Peguam Negara kerana didakwa tidak mendedahkan kewujudan Titah Adendum.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya diarahkan untuk memfailkan permohonan itu dalam minggu ini terhadap Ahmad Terrirudin.

Ujar Mohamed Haniff Khatri, prosiding mempunyai dua bahagian yang mana melibatkan permohonan ex-parte, iaitu kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika kebenaran diberikan maka ia berlanjutan kepada pendengaran prosiding pada meritnya di mana orang yang didakwa akan diberi peluang untuk memberi alasan kepada tindakannya sebelum mahkamah membuat keputusan.

“Di tahap ini, kita berada di ambang pertama iaitu permohonan kebenaran, belum lagi diberi kebenaran.

“Justeru, walau apa sekalipun, orang didakwa merupakan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan, maka sewajarnya, saya percaya Ketua Hakim Negara sebagai peneraju sistem kehakiman akan mengambil maklum kewujudan permohonan itu apabila ia difailkan.

“Beliau akan mengambil kira dan mempertimbangkan perkara itu untuk merehatkan terlebih dahulu Ahmad Terrirudin daripada mendengar mana-mana rayuan mahupun permohonan di Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!