Ayah, anak menari, menyanyi lepas balik sekolah cuit hati warganet

SHAH ALAM - Satu klip video tular di media sosial memaparkan telatah seorang kanak-kanak perempuan menari dan menyanyi bersama ayahnya dengan gembira mencuit hati warganet.
Ibunya, Atika Naseha Abd Rahman, 32, berkata, ketika itu suami, Muhammad Amin Nordin, 34, baru sahaja mengambil anaknya, Adya Naurah Muhammad Amin, 10, pulang dari sekolah.
Menurutnya, dia sering merekod video untuk kenang-kenangan kerana selalunya perlakuan suami dan anaknya itu berlaku tiba-tiba sambil berlawak jenaka.

“Jarang nak tengok mereka sedih, mereka berdua memang seorang yang periang dan lawak. Ada ketika bila saya dalam keadaan serius tetapi mereka masih berjenaka.
“Bila cakap saya tengah serius, baru lah mereka ‘takut’. Anak saya memang rapat dengan ayahnya, di rumah apa sahaja yang ayahnya buat memang dia akan ikut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, Atika Naseha yang tinggal di Johor Bahru berkata, personaliti Adya Naurah diibaratkan seperti ‘air’ kerana jika dia dan suami bergaduh, anaknya akan menjadi orang tengah menjernihkan keadaan.
Tambahnya, dia menganggap suami dan anaknya itu seperti ‘dua budak kecil’ yang selalu bermain di rumah bersama-sama.
“Keakraban mereka memang tidak dapat disangkal lagi. Bila saya bergaduh dengan suami, dia yang akan menjernihkan keadaan.
“Anak selalu datang pujuk saya, kemudian nasihatkan saya dia cakap 'tak baik mama, maafkanlah papa, semua manusia ada silap'. Itu perangai anak saya.

“Tetapi tidak dinafikan juga, disebabkan kadang-kadang suami susah untuk serius dan anak ikut, anak akan keliru terhadap sesuatu keadaan. Ketika itulah saya berbincang dengan suami untuk selesaikan perkara seperti ini, jadi Adya akan faham keadaan mana yang perlu serius dan mendengar nasihat kami,” ujarnya.
Kerana sering memuat naik video kebahagiaan keluarga di media sosial, Atika Naseha tidak menafikan ada beberapa wanita cuba untuk ‘berkenalan’ dengan suaminya.
Menurutnya, dia mengambil pendekatan untuk tidak berfikir negatif secara berlebihan dan tidak mengambil peduli.

“Ada mesej atau komen masuk, saya tidak ambil hati dan anggap itu gurauan, saya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada suami. Saya muat naik video itu, jadi ini risiko yang perlu saya terima.
“Saya doa semoga keluarga saya bahagia hingga ke akhir hayat dan saya juga harap orang luar yang doa ‘nak suami macam itu’ atau ‘ayah seperti itu’, semoga ALLAH SWT perkenankan doa mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!