Polis buka kertas siasatan video tular replika naga berbendera China

MUAR - [DIKEMAS KINI] Polis membuka kertas siasatan susulan rakaman video dan gambar mengenai perarakan replika naga yang didakwa menunjukkan bendera China di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, perarakan replika naga terbabit berlangsung pada program perarakan seni dan kebudayaan sempena sambutan ulang tahun ke-20 Gabungan Persatuan Tiong Hua daerah Muar.
Jelasnya, perarakan tarian naga yang dikatakan terpanjang di negara ini telah diadakan di kawasan bandar dengan melalui beberapa jalan utama pada jam 6.10 petang, Sabtu.
"Hasil pemantauan polis semasa perarakan berlangsung pada petang Sabtu, replika naga terbabit dihias dengan Jalur Gemilang di sebelah kanan manakala bahagian kiri badan dihias dengan bendera negara China.
"Rakaman video dan gambar-gambar mengenai perarakan terbabit turut dikesan tular di media sosial sejak Sabtu," katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.
Dalam pada itu, Raiz Mukhliz berkata, tindakan proaktif telah diambil dengan membuka kertas siasatan pada hari yang sama kejadian dilaporkan.
Katanya, pihak penganjur program dan saksi-saksi kejadian telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (kawalan mempamer 1949),
"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau percaya kepada berita yang tidak ditentukan kesahihannya bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.
Sebelum itu, tular video berdurasi 15 saat memaparkan perarakan replika naga mempunyai bendera China, di daerah ini sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!