Kedah bentuk gandingan pengalaman hadapi MPFL Divisyen 1 2025

KEDAH yang merupakan pendatang baharu Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 2025 kini dalam persiapan membentuk gandingan berpengalaman bagi menghadapi saingan yang akan membuka tirainya pada 8 Mac depan.
Naib juara edisi sulung MPFL Divisyen 2 2024 ini telah membawa masuk pemain import baharu bagi memperkuatkan posisi fixo iaitu Cesar Shammir Olmedo Ayala dari Paraguay.
Kedah turut mengekalkan pencetak gol import mereka dari Thailand, Nattawat Luksanato yang menjaringkan 15 gol dalam 13 penampilannya musim lalu.
Pengurus pasukan futsal Kedah, Mohd Aizad Roslan berkata, skuadnya kini dalam proses melakukan transformasi bagi menghadapi tujuh lagi cabaran pasukan iaitu juara berganda Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor, Pahang Rangers, TOT United FC, Sabah FA, KL City FC dan satu lagi pendatang baharu, Malaysian University FT.
"Skuad baharu Kedah ini akan menampilkan empat pemain berasal dari Kedah yang telah menimba pengalaman mereka bersama pasukan lain dan telah dipanggil untuk menyertai pasukan musim ini," katanya ketika diminta mengulas persiapan skuad futsal Kedah.
Jelas Aizat, kombinasi pemain berpengalaman dan muka baharu bakal menjadi kekuatan Kedah bagi memberikan cabaran sengit kepada lawan.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) mengumumkan perlanjutan kontrak lapan pemain utama dari skuad musim lalu bagi meneruskan cabaran MPFL 2025.
Menurutnya, keputusan ini dibuat bagi memastikan kestabilan pasukan serta kesinambungan dalam pasukan dan pengalaman serta keserasian yang telah dibina, skuad ini bersedia untuk memberi saingan hebat pada musim ini.
Lapan pemain tersebut adalah Eikmal Daniel, Haziq Farhan, Muhammad Saufie, Muhammad Hakimi, Muhammad Firdaus, Hafiz Ikhmal, Faizyatulnaim dan Muhammad Zulikmal.
Eikmal Daniel merupakan penjaring tempatan terbanyak dengan 11 gol manakala Haziq Farhan pula dinobatkan Penjaga Gol Terbaik dalam saingan MPFL Divisyen 2 musim lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!