Pasangan kekasih bebas pertuduhan edar, miliki dadah

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu melepaskan dan membebaskan pasangan kekasih atas tiga pertuduhan mengedar serta memiliki dadah dan racun, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pengurus keselamatan, B Pirabagaran, 25, dan kerani, Azmeliza Amilhamja, 30, di akhir kes pendakwaan.
Ketika membaca keputusan tersebut, Norsharidah berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pengetahuan terhadap semua dadah berkenaan.
“Dadah itu dijumpai dalam beg galas di atas lantai di lokasi kejadian, sedangkan mereka ditangkap di kawasan lain sebelum dibawa ke lokasi penemuan itu.
"Pangsapuri (yang dikatakan rumah mereka) mempunyai kad akses, namun tidak boleh dibuktikan bilangan kad akses yang sedia ada.
“Tidak dapat dipastikan individu yang boleh keluar dan masuk ke kawasan terbabit, jadi kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," katanya.
Mengikut pertuduhan, Pirabagaran dan Azmeliza secara bersama dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 81.01 gram di sebuah unit pangsapuri di Petaling Jaya, pada jam 10.30 malam, 22 Mac 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta serupa dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta 15 sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki 4.29 gram (g) dadah jenis heroin dan 0.47g dadah jenis monoacetylmorphine di lokasi dan tarikh yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta serupa serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki racun jenis Flualprazolam seberat 5.39g di tempat dan tarikh yang serupa, di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Prosiding perbicaraan bermula pada 9 Julai tahun lalu dengan sembilan saksi memberi keterangan.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Navin Punj dan Amarpreet Singh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

