[VIDEO] 9,550 anggota wanita berkhidmat dengan ATM
KUALA LUMPUR - Seramai 9,550 anggota wanita yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara sehingga 31 Disember tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah itu meliputi 6,574 yang berkhidmat dalam sektor tentera darat, 1,953 laut dan 1,023 udara.

Menurutnya, kerajaan juga komited menghantar anggota dan pasukan keselamatan khususnya yang melibatkan anggota wanita dalam pelbagai misi penting.
“Sehingga 31 Disember 2024, seramai 222 anggota wanita ATM telah berkhidmat di luar negara. Mereka terlibat dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), latihan bersama negara-negara rakan strategik serta tugasan diplomatik ketenteraan.
“Sehingga kini, ATM telah melaksanakan 3 misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa dengan penglibatan 118 anggota wanita. Misi berkenaan antaranya memberi bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh, membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan misi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai bilangan anggota tentera wanita yang masih berkhidmat di dalam sektor darat, laut dan udara serta bilangan kumpulan berkenaan yang dihantar ke misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mastura mengenai usaha atau insentif dilakukan kementerian untuk mencapai sasaran 10 peratus penyertaan golongan wanita seperti terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan, Adly menjelaskan ia mampu dilaksana.
Ujarnya, antara aspek yang dilihat berupaya meningkatkan penglibatan golongan wanita ialah dari segi penggunaan teknologi yang menyaksikan peluang untuk golongan berkenaan terbuka luas.
“Kalau kita melihat kepada Kertas Putih Pertahanan, kita dapat melihat ada kekurangan sekitar dua peratus daripada pencapaian yang inginkan.
"Bagi tahun ini kita adakan kajian semula kepada Kertas Putih Pertahanan kerana kita tahu dalam tempoh 10 tahun, lima tahun kita kena lihat (penilaian) ada beberapa aspek yang boleh pertingkatkan penglibatan wanita," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!