BAMTC 2025: Malaysia terlepas mata pertama kepada Hong Kong

Pang Ron (kiri) dan Su Yin terlepas mata pertama buat kem badminton negara ketika berdepan Hong Kong di China. - Foto: FB BAM.
Pang Ron (kiri) dan Su Yin terlepas mata pertama buat kem badminton negara ketika berdepan Hong Kong di China. - Foto: FB BAM.
A
A
A

MALAYSIA terlepas mata pertama kepada Hong Kong dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China sebentar tadi.

Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang turun membuka gelanggang di Pusat Sukan Qingdao Conson tewas kepada Tang Chun Man-Ng Tsz Yau dalam tiga set permainan.

Pasangan negara yang menghuni ranking ke-15 dunia bermula dengan langkah kanan pada set pertama apabila menang 21-17.

Namun bagai ada yang tidak kena dengan Pang Ron-Su Yin apabila momentum positif gagal diteruskan pada baki dua permainan.

Chun Man-Tsz Yau bangkit pada set kedua 21-17 untuk mengheret aksi ke permainan penentuan sebelum mengesahkan kemenangan 21-11 dalam tempoh 59 minit perlawanan.

Ketika ini, cabaran buat pemain perseorangan wanita, K Letshanaa yang menjadi sandaran negara untuk mengutip mata bagi mengikat kedudukan dengan Hong Kong.

Pemain negara yang berada di kedudukan ke-53 dunia itu sedang berdepan dengan Mehta Saloni Samirbhai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!