X

Kindly register in order to view this article
!

Azeem raih kejuaraan berganda di Ipoh

Azeem (kanan) dan Nurul Wardatul bersama pingat dimenangi masing-masing pada kejohanan di Stadium Perak.
A
A

PELARI yang diberi julukan ‘Usain Bolt’ Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus cemerlang pada Kejohanan Olahraga Perak All-Comers 1, apabila melakar kemenangan berganda dengan memenangi acara 100 meter di Stadium Perak Ipoh, hari ini.

Bagaimanapun, pelari remaja negara yang berusia 16 tahun itu hanya sekadar mencatatkan kepantasan 10.88 saat (s) sekali gus gagal memperbaharui rekod kejohanan yang dilakukan atlet Sarawak, Jonathan Nyepa melalui catatan 10.49s..

Sebagai rekod, ia merupakan emas kedua Muhammad Azeem pada Kejohanan All Comers selepas meraih emas acara 200m semalam dengan catatan masa 21.04s.

Pingat perak dalam acara tersebut diraih atlet Johor, Muhammad Arsyad Md Saat dengan catatan 11.04s manakala gangsa dirangkul atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Para, Abdul Latif Romly melalui catatan 11.05s.

Muhammad Azeem, yang mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Perak berkata, beliau berpuas hati dengan masa yang dicatatkan itu walaupun mengakui ia jauh daripada catatan peribadi terbaik, 10.57s dilakukan pada Kejohanan Terbuka Innotex di Bukit Jalil, November lalu.

"Berdasarkan catatan yang dilakukan tadi (10.88s) bagi saya ia tak jadi masalah sebab saya memang tak letak sasaran tetapi hanya nak dapatkan 'feel' larian.

“Bagaimanapun masih banyak yang perlu diperbaharui dan diperbaiki utk pertandingan- selepas ini," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat itu.

Sementara itu, bagi kategori wanita, pelari remaja kebangsaan, Nurul Wardatul Huwaida Hamka berjaya merangkul pingat emas acara 100m dengan catatan 12.29s.

Pingat perak diraih atlet Johor, Nur Najibah Hanim Abdul Halim melalui catatan 12.52s manakala pingat gangsa turut menjadi milik Johor melalui Nabila Natasha Azisyan yang mencatatkan masa 12.72s.

Nurul Wardatul, yang mewakili Terengganu ketika ditemui, berkata, beliau amat gembira dengan kemenangan itu selepas turut menjuarai acara 200m semalam dengan catatan 25.26s.

“Apa pun saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan ibu bapa yang banyak menjadi pendorong dalam kejayaan saya di kejohanan ini," katanya. -Bernama