Satukan pengurusan, bina lebuh raya air

SELANGOR mahu membentuk suruhanjaya air bagi mengurus semua urusan berkaitan air termasuk air terawat, mentah dan air kumbahan selain membina lebuh raya air.
Suruhanjaya itu antara strategi meningkatkan kawalan dan pengurusan aset air sekali gus mengurangkan banjir di Lembah Klang. Caranya, Jawatankuasa Skim Keselamatan Air Mentah (SJAM) yang menyelia bekalan air terawat dinaik taraf sebagai Suruhanjaya Air Selangor (SAS).
Ia menyatukan semua pihak berkuasa pengurusan termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Bahagian Selangor dalam syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd juga dipertimbang untuk diambil alih.
“SAS akan membolehkan pengurusan aset air yang lebih bersepadu di negeri ini. Sehingga kini, tiada negeri lain yang melaksanakannya,” kata EXCO Infrastruktur, Ir Izham Hashim.
LUAS yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber air ditubuh mengikut Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999. Ia menyelia lembangan sungai, sumber air bawah tanah, air permukaan, tasik, kolam, bekas kolam perlombongan dan pantai.
Air Selangor pula penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia yang membekal air terawat kepada 9.3 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ia mengendalikan 34 loji rawatan air di 11 wilayah di Lembah Klang.
Percaya penubuhan SAS tidak bercanggah dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir Izham menyatakan pengurusan air kekal di tangan negeri.
SAS sebahagian pelan pengurusan bersepadu yang merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi aset air dan tebatan banjir.
Pada masa ini, SJAM kerjasama antara agensi itu dan pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab dalam menguruskan sumber air termasuk projek infrastruktur berkaitan air.
Empat projek utama melibatkan pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman dan kerja berkaitan tapak.
Ia meliputi Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (Horas) 600 di Bestari Jaya, Kuala Selangor (Pakej A), Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang di Kuala Selangor (Pakej B), LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 di Bestari Jaya (Pakej C), dan LRA Sungai Semenyih di Jenderam Hilir (Pakej D).
Selain itu, projek membina lebuh raya air bernilai RM5 bilion pula akan menghubungkan laluan air di ibu negara terus ke Sungai Klang untuk mengalir ke laut. Konsepnya umpama terowong besar yang menyalur lebihan ke laut.
“Ideanya menyalur semua air yang terkumpul di Kuala Lumpur dan bawa terus ke laut supaya ia tidak menyebabkan banjir di sepanjang sungai utama di Lembah Klang.
“Jika terdapat sebarang keabnormalan paras air seperti yang disebabkan oleh hujan, ia membawa air terus ke laut,” kata beliau.
Lebuh raya air berdiameter lapan atau sembilan meter itu berupaya mengatasi banjir di Lembah Klang. Lebihan air juga boleh dialir ke kolam takungan untuk kegunaan kecemasan seperti kemarau.
Cadangan itu telah dibentang kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
“Projek ini satu lagi pengubah permainan (game changer) tetapi ia mesti dilaksanakan dengan betul,” kata Ir Izham lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!