DBKL sita barangan penjaja tanpa lesen, skuter elektrik

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan terhadap penjaja tanpa lesen dan skuter elektrik yang menghalang lalu lintas di beberapa lokasi di ibu kota pada Isnin.
Operasi yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Bukit Bintang DBKL itu memberi tumpuan di Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Pinang dan Jalan Bukit Bintang.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 12 kes tindakan sita telah dilakukan dalam operasi khas itu mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
"Antara barangan yang disita termasuklah meja, kerusi plastik, pakaian, skuter, payung dan peralatan lain yang mengganggu laluan awam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut DBKL, semua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tujuan rekod dan dokumentasi.
MBSA turut menegaskan akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan di kawasan-kawasan tumpuan yang telah dikenal pasti.
Orang awam yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat diminta untuk menghubungi DBKL melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

