Diugut kongsi gelap, ditembak penyeludup

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff menyampaikan penghargaan kepada Mohd Nazim yang merupakan antara penerima Anugerah Wira dan Wirawati Kastam sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia di Putrajaya pada Isnin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff menyampaikan penghargaan kepada Mohd Nazim yang merupakan antara penerima Anugerah Wira dan Wirawati Kastam sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Berdepan ugutan geng kongsi gelap dan ancaman kumpulan penjenayah ketika melaksanakan tugas tidak menghalang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk terus menabur bakti.

Berikutan itu, seramai 13 pegawai daripada pelbagai pangkat telah menerima Anugerah Wira dan Wirawati Kastam sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 pada Isnin.

Penerima pertama ialah Heti Suroto dari Bahagian Perkastaman, Johor yang berdepan ugutan dan ancaman keselamatan diri serta keluarga daripada geng kongsi gelap pada Februari 2019 hingga mengalami trauma berpanjangan.

Selain itu, empat anggota iaitu Abdullaja Osman, Muhamad Ali Otojani, Supardi Rasyid dan Hamdan Datu Manong pula berdepan serangan serta tembakan penyeludup di perairan Bohey Dulang, Semporna semasa operasi banteras penyeludupan pada Disember 2019.

Insiden rempuhan serta tembakan ketika operasi banteras seludup dadah pada Januari 2023 yang dilaksanakan Abdullaja, Hamdan Datu Manong, Mohd Hafizie Awang Akub, Epy Pandong serta Shahriel Abdul Patta turut mendapat perhatian jabatan.

Pada April 2023, Mohd Nazim Zamuri dari Bahagian Perkastaman, Johor yang menaiki kenderaan ketika mengejar lori dipandu seorang lelaki Singapura yang membawa minuman keras seludup dirempuh tonto sebelum berjaya menahan suspek.

Kes lain, semasa operasi banteras penyeludupan minyak di Sungai Golok, Kelantan, pada Jun 2024, empat anggota iaitu Mohd Badin Yaacob, Muhamad Yusri Mat Esa, Abdul Aziz Dollah dan Amru Zakaria berdepan ancaman tembakan dan cubaan dirempuh sebuah bot galah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff menyampaikan penghargaan kepada Heti yang merupakan antara penerima Anugerah Wira dan Wirawati Kastam sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia di Putrajaya pada Isnin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff menyampaikan penghargaan kepada Heti yang merupakan antara penerima Anugerah Wira dan Wirawati Kastam sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia di Putrajaya pada Isnin.

Sementara itu Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, penghargaan diberikan kepada semua penerima anugerah di atas pengorbanan, dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjalankan tugas demi kesejahteraan negara.

Artikel Berkaitan:

"Setiap usaha yang dicurahkan sama ada dalam memastikan kutipan hasil negara dan memperkukuhkan kawalan sempadan adalah bukti nyata bahawa anggota dan pegawai kastam merupakan tulang belakang kepada kestabilan ekonomi dan keselamatan negara.

"Kita sedar bahawa cabaran yang dihadapi bukanlah mudah. Risiko, pengorbanan masa bersama keluarga serta tekanan tanggungjawab yang berat menuntut kecekalan, keberanian dan integriti yang tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Namun, kata Anis Rizana, beliau yakin semangat perjuangan dan nilai kesetiaan kepada amanah yang dipikul akan terus menjadi pemacu kepada kecemerlangan JKDM.

Jelasnya, JKDM amat menghargai setiap titik peluh dan jasa bakti yang dicurahkan.

"Anda semua adalah pahlawan yang menjaga benteng ekonomi dan keselamatan Malaysia.

"Teruskan kecemerlangan, kekalkan integriti dan semarakkan semangat perjuangan demi negara yang kita cintai," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!