Tukang masak maut dipukul sebab tumpahkan makanan dalam bas

NEW DELHI – Seorang tukang masak maut selepas dipukul di dalam sebuah bas di kawasan Bawana, barat laut Delhi, hanya kerana tertumpah makanan di tempat duduk, lapor pihak polis pada Ahad.
Menurut laporan NDTV, mangsa dikenali sebagai Manoj@Babu telah dipukul oleh tiga individu iaitu pemandu bas dan dua pembantunya.
Lebih tragis, seorang suspek turut bertindak kejam dengan memasukkan batang besi ke dalam alat sulit mangsa.
Selepas tidak sedarkan diri, ketiga-tiga suspek membuang mangsa berhampiran jejambat Bawana sebelum melarikan diri.
Polis mengesahkan seorang daripada suspek telah ditahan manakala dua lagi masih diburu.
Mangsa yang berasal dari Narela bekerja sebagai tukang masak majlis perkahwinan.
Sebelum itu, pada malam 1 Februari, dia bersama seorang rakannya, Dinesh, menghadiri satu majlis perkahwinan di Sultanpur Dabas.
Selesai bertugas, mereka membawa pulang makanan lebihan dan menaiki sebuah bas. Dalam perjalanan, makanan yang dibawa tertumpah ke atas tempat duduk menyebabkan pemandu dan dua pembantunya berang.
Menurut seorang pegawai polis, Dinesh dibenarkan turun di Bawana Chowk, namun Manoj ditahan dan dipaksa membersihkan tempat duduk tersebut menggunakan bajunya sendiri.
Pemandu bas bersama rakannya mengherdik dan memukul mangsa sebelum bertindak kejam dengan memasukkan batang besi ke dalam alat sulitnya.
Hari berikutnya, polis menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri.
“Pada awalnya, mangsa disangka sebagai gelandangan kerana tiada kecederaan yang jelas kelihatan namun, selepas sehari usaha menjejaki identitinya, mangsa dikenal pasti melalui abangnya, Jitendra yang telah melaporkan kehilangannya,” kata pegawai polis tersebut.
Hasil bedah siasat pada 5 Februari mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman yang teruk dan mengesahkan dia telah diserang dengan kejam.
Susulan siasatan, polis menahan seorang suspek dikenali sebagai Sushant Sharma atau Chutkuli, 24, dari kampung Karala. Usaha memburu suspek masih giat dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!