Tiga suspek terbabit enam kes pecah rumah ditangkap

SEREMBAN - Tiga lelaki tempatan diberkas polis pada Jumaat selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Jalan Jasper di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia 30 tahun ditahan di sekitar Jalan Seri Sentosa.
Menurutnya, dalam kejadian 26 Januari lalu, seorang pengadu membuat laporan polis selepas rumahnya dipecah masuk dan ditinggalkan dalam keadaan berselerak di bahagian bilik serta ruang tamu.
"Kesemua suspek ditahan dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
"Beberapa barangan untuk kegunaan pecah rumah seperti pemotong besi, gerudi, sebatang kuku kambing dan besi serta playar muncung turus turut dirampas," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, susulan penangkapan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah sekitar Seremban membabitkan kerugian berjumlah RM60,000.
Ujar beliau, siasatan lanjut akan dijalankan selepas permohonan reman diperoleh.
"Pihak polis percaya, kumpulan ini juga terlibat dengan beberapa kes pecah rumah di sekitar Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor.
"Semakan rekod jenayah mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kes narkotik," katanya.
Beliau berkata, salah seorang daripada suspek turut mempunyai satu rekod dikehendaki polis.
"Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek kini ditahan selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya
Tambah beliau, dengan tertangkapnya kesemua suspek, kes diklasifikasikan selesai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!