Lelaki maut motosikal langgar tiang elektrik

PASIR GUDANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Pasir Putih, Taman Pasir Putih di sini pada lewat malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 11.30 malam ketika mangsa berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari Taman Pasir Putih menuju ke Bandar Seri Alam.
Menurutnya, ketika tiba ke lokasi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik.
“Perlanggaran ini menyebabkan mangsa terjatuh di atas pembahagi jalan.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian.
Saksi kejadian diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Inspektor B Sarveshwaaran di talian 012-2612949.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!