'Putera raja' naik kuda putih selamatkan lelaki lemas

XIANTAO - Seorang lelaki di China mendapat julukan 'putera raja' selepas dia nekad terjun bersama kuda yang ditunggangnya untuk menyelamatkan seorang pemuda lemas di sungai.
Menerusi satu video tular di media sosial, lelaki yang dikenali sebagai Yilibai, 39, menarik tangan mangsa selepas mendengar jeritan anak perempuannya meminta bantuan.
Yilibai berkongsi, kuda putih miliknya bernama Bailong tidak pernah masuk ke dalam air sebelum ini dan berisiko menyebabkan ia jatuh sakit.
“Ketika itu, saya tidak berfikir panjang dan hanya mahu menyelamatkan nyawa. Bailong seekor kuda yang pintar namun dia mengalami demam panas selepas kejadian tersebut,” katanya.
Menurut laporan Jimu News, Yilibai dan rakannya, Su Shaogao sedang melatih kuda di tebing sungai semasa kejadian itu berlaku.
Shaogao yang juga orang pertama mendengar teriakan meminta tolong itu berkata, lelaki lemas tersebut berada lebih 50 meter dari tebing sungai.
“Saya juga melihat terdapat kapal kargo sedang melintasi sungai ketika itu. Suhu air pula sangat sejuk,” kongsi Shaogao.
Pada 5 Februari, kerajaan Bandar Xiantao mengumumkan mereka sedang memproses permohonan anugerah keberanian untuk Yilibai, Hangzhou dan Shaogao dengan ganjaran masing-masing sebanyak 3,000 yuan atau RM1,826.
Kisah tular itu meraih hampir 15 juta tontonan di platform media sosial utama China dan rata-rata warganet menggambarkan Yilibai sebagai ‘putera raja’ sebenar atas keberaniannya menyelamatkan nyawa sambil menunggang kuda. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
