Terima ugutan bunuh: Saya tak ada perasaan, sudah biasa...

Mujahid ketika bercakap kepada pemberita di pekarangan Masjid Batu Uban di sini, sempena program Ziarah Kasih RAHMAH 2020 (ZlKlR'20) Peringkat Zon Utara.
Mujahid ketika bercakap kepada pemberita di pekarangan Masjid Batu Uban di sini, sempena program Ziarah Kasih RAHMAH 2020 (ZlKlR'20) Peringkat Zon Utara.
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan ugutan bunuh terhadapnya langsung tidak mengusik perasaan atau emosi beliau.

Mujahid berkata, beliau menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan memandangkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap perkara itu, semalam.

"Bagi saya, perkara ini timbul selepas beberapa fitnah ke atas saya terutama pada waktu ini isu Lembaga Tabung Haji (TH) sedang hangat diperkatakan. Kes ini sudah jadi kes polis kerana ada pihak lain yang telah buat laporan polis.

"Saya tidak mahu masuk campur. Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk membuat laporan polis. Jadi, tunggu dahulu maklum balas daripada mereka. Setakat ini saya belum dipanggil untuk memberi keterangan tetapi akan beri kerjasama jika saya dipanggil untuk beri keterangan," katanya kepada pemberita di pekarangan Masjid Batu Uban di sini, sempena program Ziarah Kasih RAHMAH 2020 (ZlKlR'20) Peringkat Zon Utara.

Malah tegas Ahli Parlimen Parit Buntar itu, beliau tidak mempunyai sebarang perasaan atau emosi terhadap ugutan itu yang dibuat menerusi laman sosial, Facebook.

"Saya tak ada perasaan emosi atau perasaan marah, saya sudah biasa. Namun bila sudah ada laporan polis, kita tunggu saja siasatan," katanya.

Semalam, Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) membuat laporan polis terhadap lima individu yang memuat naik komen berunsur fitnah, ugutan dan ancaman bunuh terhadap Mujahid.

Artikel Berkaitan:

Penduduk setempat mengambil peluang beramah mesra dengan Mujahid tadi.
Penduduk setempat mengambil peluang beramah mesra dengan Mujahid tadi.

Laporan itu dibuat apabila lima individu tersebut dikatakan memuat naik ayat berbaur ugutan bunuh di akaun Facebook, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, perkara itu dipercayai berlaku apabila ada sesetengah pihak tidak boleh mengawal perasaan kerana dipengaruhi fitnah dan pembohongan.

"Fitnah yang berleluasa di media sosial adalah penyebab timbulnya kemarahan orang terutama isu TH sedang hangat diperkatakan. Fitnah jahat seperti kerajaan jual aset orang Islam dan TH dikuasai oleh pemimpin bukan Islam yang membuatkan orang marah.

"Malah gambar saya melawat Menteri Kewangan yang tidak ada kena mengena dengan TH juga tular kononnya perjumpaan itu berkaitan TH. Benda-benda ini yang buat orang marah dan benci yang mana mereka menterjemahkannya ke dalam media sosial. Betapa bahayanya fitnah, pembohongan dan sentimen perkauman yang dimainkan," katanya.

Terdahulu, 29 aset TH yang mengalami kerugian dipindahkan ke sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh Kerajaan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: 29 aset rugi TH dipindahkan ke SPV termasuk empat hotel tular

JPM nafi Guan Eng ketuai mesyuarat TH

Jumlah itu termasuk empat hotel yang tular di media sosial yang mana kesemua aset tersebut dipindahkan dengan nilai asal bagi memastikan operasi TH dikekalkan.

Bagaimanapun, operasi empat buah hotel tersebut akan diteruskan seperti biasa di bawah pengurusan baharu dan tiada pekerja yang akan diberhentikan.

Mujahid (tengah) turut menyertai Kayuhan Prihatin Wakaf ketika menyempurnakan Program Ziarah Kasih RAHMAH 2020 (ZlKlR'20) Peringkat Zon Utara tadi.
Mujahid (tengah) turut menyertai Kayuhan Prihatin Wakaf ketika menyempurnakan Program Ziarah Kasih RAHMAH 2020 (ZlKlR'20) Peringkat Zon Utara tadi.