Memangkin pembaharuan keempat ASEAN

ASEAN telah melalui beberapa pembaharuan sejak penubuhannya melalui Deklarasi Bangkok pada tahun 1967.
ASEAN telah melalui beberapa pembaharuan sejak penubuhannya melalui Deklarasi Bangkok pada tahun 1967.
A
A
A

PERSATUAN Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tidak pernah statik. Sejak penubuhannya pada 1967 melalui Deklarasi Bangkok, kumpulan serantau ini telah melalui beberapa pembaharuan.

Pembaharuan pertama, sekitar tahun 1976 atas dasar keselamatan serantau memandangkan Perang Dingin sedang berlaku ketika itu.

Ketika itu, ASEAN berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau melalui rangka kerja seperti Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara pada 1976 dan Perisytiharan Perikatan ASEAN (1976).

Menariknya, Sidang Kemuncak ASEAN yang pertama hanya berlangsung sembilan tahun selepas penubuhan persatuan itu pada Februari 1976 di Bali, Indonesia.

Pembaharuan kedua ASEAN berlaku pada 1990-an selepas Perang Dingin yang mana ia memberi tumpuan kepada integrasi. Selain penyertaan Vietnam pada 1995, Laos dan Myanmar (1997) serta Kemboja (1999), pembangunan utama dalam tempoh ini ialah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), asas bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Kedua-dua AEC dan Komuniti ASEAN juga menyambut ulang tahun ke-10 mereka pada tahun ini.

Tempoh Pembaharuan Kedua ini turut membuahkan Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang mana edisi ke-31 akan dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Desaru, Johor pada 27 hingga 28 Februari ini.

Skop AEM telah berkembang daripada pengurangan tarif dan halangan perdagangan kepada usaha ekonomi utama lain seperti memajukan AEC. Pada Pemukiman AEM yang akan datang ini, Malaysia mengalu-alukan kewajipan untuk membentangkan 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) untuk memacu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital di bawah tonggak ekonomi ASEAN.

Pembaharuan ketiga berlaku pada tahun 2007, apabila kita menerima pakai Piagam ASEAN iaitu asas undang-undang untuk penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015. Terdapat kesedaran yang semakin meningkat bahawa ASEAN lebih kuat sebagai sebuah blok, sama seperti Kesatuan Eropah (EU). Walaupun keadaan kita berbeza daripada EU, keperluan untuk peningkatan integrasi tidak pernah diragui.

Artikel Berkaitan:

Wacana sejarah yang panjang ini adalah untuk menunjukkan bahawa ASEAN sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman, mengenal pasti cabaran dan bertindak balas sewajarnya terhadap tatanan antarabangsa serantau dan hubungan antara rantau.

Mengapa pembaharuan keempat diperlukan?

Pada 2025, saya berpendapat bahawa ASEAN kini berada di ambang pembaharuan keempat. Antara cabaran semasa rantau ini ialah mengemudi persaingan Amerika Syarikat - China, terutamanya mengenai rantaian perdagangan/bekalan antarabangsa dan Laut China Selatan.

Di samping itu, terdapat usaha berterusan untuk menjadikan ASEAN relevan untuk penduduk Asia Tenggara dalam dunia dengan pergolakan yang semakin tidak menentu.

Di peringkat global, insiden seperti pengharaman TikTok walaupun singkat, malangnya mungkin menjadi satu norma yang berterusan. Kebolehan platform kecerdasan buatan China, DeepSeek-R1 yang semakin menggamit perhatian global menunjukkan bahawa kelebihan teknologi Barat mungkin tidak bertahan lama, mengukuhkan hakikat bahawa ini adalah ruang yang perlu dimanfaatkan Malaysia dan ASEAN jika kita mahu maju dalam sektor digital.

Malaysia, sebagai Pengerusi 2025 harus merekayasa pembaharuan keempat walaupun bentuk akhirnya mestilah ditentukan melalui konsensus semua negara anggota.

Ini penting bagi ASEAN untuk mengekalkan kepusatannya sebagai penggerak dalam keselamatan serantau.

Penyediaan asas oleh Malaysia

Sebahagian agenda Kepengerusian Malaysia-ASEAN 2025 adalah untuk menyediakan asas bagi pembaharuan rantau ini.

Bagi pihak MITI, ini termasuk memperkukuhkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang akan meningkatkan perdagangan serantau. ATIGA merupakan ‘pelindung nilai’ yang sangat berkesan dan diperlukan bagi menangani perang perdagangan global yang berterusan.

Sementara itu, penyempurnaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) bukan sahaja akan meningkatkan e-dagang serantau tetapi juga mengukuhkan keselamatan siber dan tadbir urus data melalui piawaian dan prinsip yang sama.

Ini penting untuk mengekalkan kredibiliti ekonomi dalam talian di rantau ini untuk melindungi rakyatnya.

Kemajuan dalam grid tenaga ASEAN serta kerjasama serantau yang lebih kukuh mengenai kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor akan memastikan Asia Tenggara menjadi hab untuk aktiviti ekonomi masa depan yang penting ini.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang akan datang, dan penyertaan beberapa ahli ASEAN dalam BRICS mengukuhkan kesediaan rantau ini untuk berinteraksi merentasi spektrum politik/geografi tetapi juga untuk mempelbagaikan hubungan ekonomi ASEAN.

Kami juga merancang untuk mengumumkan Wawasan Komuniti ASEAN (ACV) 2045 yang bertujuan untuk menjayakan Wawasan ASEAN 2025 yang sedia ada.

ACV 2045 adalah usaha sepanjang 20 tahun dengan beberapa pelan strategik yang menyentuh hal-hal seperti keselamatan politik, ekonomi, sosiobudaya dan kesalinghubungan.

ACV akan menyediakan asas penting untuk masa depan rantau ini dan mungkin juga bakal menyiapkan ASEAN bagi pembaharuan kelimanya.

Ringkasnya, pembaharuan keempat ASEAN seharusnya memberi tumpuan kepada memperdalamkan integrasi serantau, menyediakan ekonominya untuk peralihan teknologi, sambil mengekalkan autonomi strategik dan memastikan ASEAN kekal relevan dengan penduduknya.

Usaha ini sangat bersesuaian dengan slogan 2025 kami Keterangkuman dan Kemampanan.ASEAN mestilah strategik

Pendekatan ini mungkin mengambil masa untuk diterima oleh semua Negara Anggota ASEAN (AMS) tetapi ia menunjukkan kepentingan Asia Tenggara.

Mungkin juga ini sebabnya ramai pihak mempunyai visi mereka sendiri tentang apa yang patut dilakukan. Justeru, diskusi dalam topik ini amat dialu-alukan.

Walaupun sering dikritik sepanjang penubuhannya, hakikatnya ASEAN terus berkembang. Paling penting, pelbagai kuasa besar amat bersedia untuk terlibat urus dengan ASEAN dan nampaknya tidak langsung berasa terancam oleh pembangunan kami.

ASEAN tidak pernah membiarkan dirinya dipaksa untuk membuat pilihan, sama ada dari segi politik atau ekonomi, tidak kira betapa lantang atau mendesak tekanan yang diterima.

Semua keputusan yang dibuat adalah untuk kepentingan Asia Tenggara dan bukan apa yang pihak lain mahukan.

Saya yakin bahawa jika kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara penting seperti yang ditetapkan oleh PED kita sambil mengekalkan fokus kepada kepusatan ASEAN, pembaharuan keempat kita dalam apa jua bentuknya akan memastikan rantau kita terbuka, bebas dan makmur, berkembang maju dan menyumbang secara positif kepada tatanan global.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!