Isteri tanya setiap hari, nama awak siapa?

Nur Hidayah sentiasa berada di samping suaminya membantu dan memberikan sokongan moral untuk meneruskan kehidupan.
Nur Hidayah sentiasa berada di samping suaminya membantu dan memberikan sokongan moral untuk meneruskan kehidupan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Setiap hari saya tanyakan apa namanya, siapa adik-beradik dan kerja di mana?

Demikian luahan Nur Hidayah Jasin, 31, berkongsi kesabaran dalam menjaga suaminya, Muhamad Rustam Mansor, 31, yang terlantar akibat kemalangan sejak Jun 2022 lalu, ketika usia perkahwinan mereka baharu memasuki tahun pertama.

Menurutnya, Muhammad Rustam yang merupakan bekas pelajar sebuah tahfiz di Kedah kini terpaksa menghabiskan sepenuh masa di katil akibat perlukan sokongan untuk bergerak.

"Lepas kemalangan, suami koma selama tiga minggu, sebaik sahaja sedar kami dikejutkan dengan ingatannya yang hilang. Setiap hari kena tanya nama apa, kejadian tu macam-mana, lama-kelamaan berkat kesabaran dan izin ALLAH beransur pulih walaupun terpaksa bersabar dan ambil masa selama setahun," katanya.

Kesan pembedahan jelas kelihatan di bahagian kepala Muhamad Rustam setelah tempurung kepala dibuang dan dimasukkan semula.
Kesan pembedahan jelas kelihatan di bahagian kepala Muhamad Rustam setelah tempurung kepala dibuang dan dimasukkan semula.

Jelas Nur Hidayah, sehingga kini, masih terdapat banyak perkara yang tidak boleh diingati suaminya namun tidak mengapa memandangkan sudah dinasihati doktor agar mengelak memberikan tekanan bagi mengelakkan emosi tidak stabil.

Menceritakan kembali kejadian yang mengubah kehidupan rumah tangga mereka, katanya, kemalangan di simpang pekan Merbok itu dipercayai akibat mangsa digilis sebuah kereta selepas terpelanting dari motosikal setelah dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang.

"Akibat kejadian, suami patah bahu, lengan kanan, tulang rusuk dan pipi...tempurung kepala juga dibuang, tetapi kini dah dimasukkan semula, sarafnya turut ada gangguan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai umat Islam kita kena reda, sabar atas ujian, minta doa agar dia sihat, selalu minta dia banyakkan bersabar, zikir, selawat dan istigfar. Alhamdulillah beransur pulih sikit-sikit," katanya.

Nur Hidayah berkata, dalam kepayahan menjaga suami, dia bersyukur dikurniakan keluarga yang banyak membantu memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

Mereka kini menumpang di rumah ibunya, Munirah Mansor, 64, dan sering dibantu abang, Mohd Hasanuddin, 35, untuk urusan mengalih dan memindahkan Muhamad Rustam jika mahu keluar mendapatkan rawatan atau urusan lain.

Nur Hidayah tidak mampu keluar bekerja memandangkan perlu menjadi 'tongkat' buat suaminya sepenuh masa.

Disebabkan itu, mereka bergantung kepada bantuan bulanan yang diterima dari agensi berkaitan untuk kos makan dan minum, lampin pakai buang dan susu yang diperlukan.

Nur Hidayah menunjukkan keadaan suaminya semasa kemalangan lebih dua tahun lalu.
Nur Hidayah menunjukkan keadaan suaminya semasa kemalangan lebih dua tahun lalu.

"Setakat ini, suami perlu dihantar menjalani fisioterapi yang dijalankan selama sebulan sekali dan pemeriksaan susulan doktor enam bulan sekali selain urutan seminggu sekali oleh individu yang dipanggil ke rumah,"katanya.

Muhamad Rustam ketika ditanya tentang dirinya hanya memberikan jawapan ringkas seterusnya menggelengkan kepala menandakan tidak mengingati setelah disoal beberapa soalan lain.

"Sayang sangat-sangat," jawabnya ketika ditanya sebanyak mana kasih sayang terhadap Nur Hidayah yang telah banyak berkorban terhadapnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 1521-0832-7912 atas nama Muhamad Rustam atau akaun Bank Islam bernombor 02-0200-2086-8242 atas nama Nur Hidayah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!