AS tak kalis kecaman, cuba putar belit?

Penunjuk perasaan mengadakan bantahan terhadap idea gila Trump di luar Kedutaan AS di Seoul pada Rabu.
Penunjuk perasaan mengadakan bantahan terhadap idea gila Trump di luar Kedutaan AS di Seoul pada Rabu.
A
A
A

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) cuba 'mengubah pendirian' dan memberi kenyataan berbeza berhubung rancangan tak masuk akal mahu mengambil alih Genting Gaza selepas ia mencetuskan gelombang bantahan komuniti antarabangsa.

Bagi meredakan kemarahan ramai, Setiausaha Negara, Marco Rubio pada Rabu berkata, sebarang proses pemindahan penduduk Palestin dari Gaza kononnya hanyalah sebagai langkah sementara.

“Kami juga tidak akan menghantar pasukan tentera,” katanya merujuk kepada kenyataan Presiden Donald Trump yang pada mulanya tidak menolak untuk berbuat demikian.

Trump yang syok sendiri dengan yakin memberitahu semua pihak kononnya menyokong idea mengarut beliau meskipun ia disifatkan sebagai rancangan untuk melaksanakan Nakba (malapetaka) kedua.

“Pelan itu tidak bertujuan untuk mencetuskan permusuhan. Ia adalah 'langkah murah hati' untuk tawaran pembinaan semula wilayah itu,” ujar Rubio yang cuba 'melembutkan' kenyataan Trump tentang menjadikan Gaza sebagai 'Riviera Asia Barat', sehari sebelum itu.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt pula memaklumkan Washington tidak akan membiayai projek pembangunan semula Gaza yang musnah teruk akibat perang genosid selama lebih 15 bulan.

“Penglibatan AS tidak bermaksud menempatkan pasukan tentera secara fizikal atau pembayar cukai Amerika akan membiayai usaha membina semula wilayah itu,” katanya.

Menurutnya, pentadbiran Trump menjangkakan Mesir, Jordan dan negara lain akan menempatkan penduduk Palestin secara sementara bagi membolehkan pelaksanaan projek pembangunan semula tersebut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara yang menentang keras pelan kontroversi yang disifatkan sebagai kempen pembersihan etnik di Gaza.

Artikel Berkaitan:

“Pada dasarnya, hak penduduk Palestin untuk hidup seperti orang lain di tanah air mereka sendiri tidak boleh dinafikan mana-mana pihak,” tegas Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menerusi ucapan kepada jawatankuasa badan itu yang menguruskan hak penduduk Palestin. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!