Pelepasan sisa dakwat ke longkang, premis cetak kotak diarah henti operasi

KAJANG - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan air berwarna biru dikesan pada aliran paip tanpa kebenaran (bypass) di kawasan perindustrian Mahkota, Beranang di sini pada Rabu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, paip tersebut sebelum ini ditutup oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) susulan insiden pencemaran air berwarna merah jambu di Sungai Kabul pada 15 Januari lalu.
Menurutnya, pasukan LUAS telah ke lokasi dan mendapati aliran air berwarna tersebut telah melimpah masuk ke longkang berhampiran.
"Sebanyak empat beg karbon aktif diletakkan di kawasan longkang tersebut sebagai langkah kawalan dan pencegahan.
"Pasukan LUAS kemudian menjalankan siasatan lanjut ke lokasi dan menemukan sebuah alur lurang kumbahan utama yang terdapat kesan aliran air berwarna biru berdekatan dengan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium Sdn (IWK), " katanya menerusi kenyataan lada Khamis.
Katanya, LUAS seterusnya telah menyelaraskan tindakan bersepadu bersama pihak IWK, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MPKJ untuk mengenal pasti punca aliran air berwarna biru itu.
Ujarnya, siasatan menemukan beberapa bekas mengandungi sisa pewarna yang dipercayai dakwat pencetak di kawasan sebuah premis yang menjalankan perniagaan pembuatan mencetak kotak.
"Siasatan di dalam premis juga menemukan kesan basuhan berwarna sama seperti di dalam lurang kumbahan di tandas utama.
"Pasukan LUAS telah melaksanakan verifikasi dan mendapati aliran air berwarna biru yang ditemukan di paip bypass dan lurang kumbahan berkaitan adalah daripada
bahan pencemar yang sama," katanya.
Justeru katanya, MPKJ dan JAS telah mengarahkan premis tersebut untuk menghentikan operasi serta-merta dan telah menyita premis berkenaan.
"LUAS telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air.
"Seterusnya LUAS juga telah menyelaraskan tindakan lanjut dengan memanjangkan semua penemuan-penemuan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan lanjut di bawah bidang kuasa agensi," tambah beliau.
Selain itu katanya, tindakan pemantauan susulan turut dilaksanakan oleh LUAS agar insiden seumpama ini tidak berulang di masa-masa akan datang.
Jelas beliau, penemuan punca pencemaran air berwarna ini berjaya mengelakkan risiko permasalahan kepada Sungai Kabul dan seterusnya gangguan kepada Loji Rawatan Air
(LRA) Sungai Semenyih yang terletak 16.3 km dari lokasi. Penemuan ini juga katanya, berjaya mengenal pasti punca kepada beberapa insiden aliran air
tercemar berwarna di Sungai Kabul yang berlaku sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

