[VIDEO] Suami isteri tak mengaku lakukan pengabaian terhadap anak

A
A
A

BUTTERWORTH - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki mereka hingga mendapatkan kecederaan pada Januari lalu.

Tertuduh, P Anantthanras, 35, dan isterinya, M Iswari, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara bersama di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Anantthanras yang bekerja sebagai pemandu van kilang manakala isterinya pula bekerja sebagai operator kilang didakwa melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mana mereka mempunyai pemeliharaan ke atasnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 29 hingga 30 Januari lalu di sebuah kediaman di Taman Sentosa, Nibong Tebal dalam daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Bagi kesalahan itu, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Khamis.
Kedua-dua tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Khamis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala pasangan suami isteri terbabit tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh susulan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin selain mangsa merupakan anak kandung kepada pasangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kanak-kanak itu kini masih menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap selain merupakan saksi penting dalam kes ini.

"Selain itu, tertuduh lelaki juga pernah dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 2019 dan 2020,” katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin serta menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!